Berita Utama

204 pengusaha pelancongan gulung tikar sejak Mac

Antaranya 109 entiti berkait hotel, 95 syarikat agensi pelancongan

KUALA LUMPUR, 7 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Sebanyak 204 entiti perniagaan pelancongan dan perhotelan telah menamatkan perniagaan sejak Mac tahun ini berikutan impak penularan COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata berdasarkan data yang dikeluarkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), jumlah itu merangkumi 109 entiti berkaitan perhotelan, resort, motel, inap desa dan chalet, manakala 95 syarikat berkaitan agensi pelancongan dan pengendali aktiviti pelancongan.

“Bagi sektor berkaitan perhotelan, 32 daripada 109 adalah penggulungan oleh mahkamah dan penggulungan secara sukarela, manakala 38 daripada 95 agensi pelancongan juga tamat perkhidmatan dengan penggulungan oleh mahkamah dan penggulungan secara sukarela,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) yang ingin tahu jumlah hotel dan syarikat pelancongan yang gulung tikar sejak permulaan PKP hingga 31 Okt, serta inisiatif kementerian kepada syarikat untuk menampung kos operasi sehingga pintu-pintu ekonomi kembali dibuka.

Nancy berkata kementerian akan meneliti perkara itu selain mengadakan perbincangan dengan agensi kerajaan yang lain serta persatuan berkaitan bagi mengenal pasti isu dan mencari penyelesaiannya.

Bagaimanapun, beliau berkata sebanyak 135 syarikat dan pengusaha pelancongan yang memohon lesen baharu telah diluluskan bagi tempoh sama.

Sementara itu, Nancy berkata kementerian bercadang memohon peruntukan pembangunan kira-kira RM50 juta untuk Tapak Arkeologi Sungai Batu, Kedah sebagai pelan pusingan dalam Rancangan Malaysia Ke-12, untuk tahun 2021.

“Pada akhir September lepas, kementerian telah melawat ke tapak arkeologi ini bersama pegawai EPU (Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri) dan menerangkan perancangan jangka panjang serta peruntukan pembangunan yang diperlukan,” katanya menjawab soalan tambahan Nor Azrina Surip (PH-Merbok) yang meminta penjelasan berhubung peruntukan bagi tapak arkeologi itu yang ditarik balik sebelum ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button