Berita Utama

MN: Usaha PAS Terengganu atur pertemuan dengan UMNO masih gagal

Serah kepada Pusat untuk teruskan kerjasama atau tidak

BANGI, 5 Syawal 1443H, Jumaat – Usaha PAS untuk meneruskan kerjasama dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) di Terengganu masih tergantung.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Husain Awang mendakwa, pihaknya cuba mengatur pertemuan dengan pihak UMNO namun sehingga kini masih berdepan kegagalan.

“Kita telah membuat hubungan sebanyak dua kali tapi kedua-duanya gagal, masih gagal, masih tidak berjaya lagi kerana UMNO sibuk.

“Berkenaan sikap UMNO yang mendakwa MN tidak wujud di Terengganu, saya tidak mahu campur kerana PAS sehingga kini masih mahu meneruskan kerjasama tersebut,” katanya seperti dilapor portal tempatan hari ini.

Husain menegaskan pihaknya kini menyerahkan kepada Pusat sama ada untuk meneruskan jalinan kerjasama MN dengan UMNO atau tidak.

Terdahulu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Said menjelaskan MN di negeri itu telah mati.

Malah, UMNO secara tegas kekal dengan pendirian untuk bertanding di semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke- 15 (PRU-15) akan datang sekali gus menentang PAS.

Pada 14 September 2019 UMNO dan PAS menubuhkan MN atas alasan mahu mengukuhkan semula kesatuan politik bangsa Melayu.

Gagasan berkenaan didakwa mahu membawa perubahan kepada kesatuan politik Melayu di Malaysia.

Namun, peranan dan fungsi Muafakat Nasional kini seolah-olah tenggelam dan hilang punca.

Pautan rujukan;
https://www.astroawani.com/berita-politik/pas-gagal-jumpa-umno-teruskan-mn-di-terengganu-360024

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button