Berita Utama

PAS setuju PRU15 ditangguh

Beri peluang kerajaan laksana tugas dalam tempoh secukupnya

BANGI, 5 Syawal 1443H, Jumaat – Meskipun sudah bersedia menghadapi pilihan raya, PAS bagaimanapun bersetuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ditangguhkan sehingga tempoh penggal pemerintahan berakhir.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ia bagi membolehkan kerajaan melaksanakan tugas dalam tempoh yang mencukupi.

“Kita sudah buat kenyataan tiga negeri habiskan penggal kerana rakyat masih dalam keadaan letih dengan politik dan wabak (COVID-19) yang belum selesai.

“Jadi lebih baik kita beri peluang kepada kerajaan yang ada laksanakan tugas dalam tempoh secukupnya. Oleh itu kita setuju PRU ditangguhkan,” katanya seperti dilapor media tempatan hari ini.

Mac lalu, PAS memutuskan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri dikuasainya iaitu di Kelantan, Terengganu dan Kedah sehingga habis penggal, tahun depan.

Keputusan itu bagi memberikan tumpuan kepada kestabilan dan kesejahteraan hidup rakyat.

Pun begitu, Ahli Parlimen Marang itu berkata, PAS sentiasa bersedia dan tetap menggerakkan jenteranya untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Kita dah gerak semua jentera-jentera di seluruh negeri, seluruh negara. Kita gerak cawangan kita dan tambah cawangan-cawangan, tambah ahli-ahli.

“Kita kaji melalui post mortem tiga pilihan raya negeri yang telah diadakan di Sabah, Melaka dan Johor,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button