Berita Utama

Rakyat perlu bersatu perangi peningkatan mendadak COVID-19

'Kami harapkan orang ramai duduk di rumah, sila patuhi SOP'

KUALA LUMPUR, 20 Safar 1442H, Khamis – Rakyat Malaysia perlu bersatu untuk memerangi penularan wabak COVID-19 yang meningkat ketika ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata orang ramai memainkan peranan penting dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP), tanpa mengira kedudukan dan status mereka.

“Kami tidak boleh membendung atau mengurangkan penularan tanpa sokongan orang ramai. Apa yang kami harapkan adalah orang ramai duduk di rumah dan jika tidak, sila patuhi SOP ditetapkan.

“Pakai pelitup muka, jaga penjarakan fizikal dan selalu basuh tangan. Kegagalan mengamalkan SOP membantu peningkatan risiko jangkitan,” katanya di laman Facebooknya, semalam.

Sejak 1 Okt hingga semalam, Malaysia merekodkan peningkatan kes baharu COVID-19 mencecah tiga angka yang agak membimbangkan dan bilangan tertinggi pada Selasa dengan 691 kes.

Dr Noor Hisham dalam memberi semangat kepada petugas barisan hadapan, turut mengingatkan bahawa mereka adalah pelindung kepada kesihatan dan keselamatan rakyat serta pertahanan terakhir negara.

“Kami perlu terus bersemangat dan kuat. Kita mempunyai peluang untuk melakukannya dan meratakan lekuk sekali lagi. Lakukannya atau tidak.

“Peringatan juga kepada petugas barisan hadapan agar mengikuti dan mematuhi garis panduan pengurusan kes dan SOP ketika di lapangan untuk melindungi diri daripada jangkitan. Kesihatan menyatukan kita semua untuk bersama melawan musuh iaitu COVID-19. Insya-Allah,” katanya.

Beliau turut mengiktiraf usaha dan kerja keras barisan hadapan yang bekerja keras tanpa henti sepanjang 10 bulan untuk memerangi musuh yang tidak nampak.

Dr Noor Hisham juga menyedari bahawa ramai petugas barisan hadapan yang keletihan dan kecewa dengan kemunculan banyak kluster baharu, bagaimanapun petugas barisan hadapan adalah manusia biasa juga, katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button