Dunia

4,000 penempatan haram Israel terus ancam keamanan Palestin

Shtayyeh desak pentadbiran AS segera campur tangan

RAMALLAH, 6 Syawal 1443H, Sabtu – Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh memberi amaran kesan serius terhadap kelulusan kerajaan penjajah Israel membina 4,000 unit penempatan haram baharu di Tebing Barat serta perobohan 12 kampung di wilayah Masafer Yatta, selatan Hebron.

Shtayyeh dalam satu kenyataan menyifatkan rancangan rejim haram Israel sebagai ancaman kepada keselamatan dan keamanan di rantau ini.

Palestin berdepan keadaan tegang akibat daripada dasar dan amalan penganiayaan, perkauman serta pembersihan etnik yang dikuat kuasakan kerajaan Zionis ke atas rakyatnya.

Justeru, beliau mendesak pentadbiran Amerika Syarikat (AS) untuk segera campur tangan bagi menghentikan perbuatan melampau Israel itu.

“…ia menimbulkan ancaman serius kepada peluang penyelesaian dua negara, dan bekerja keras untuk membuka ufuk politik yang memberi harapan kepada rakyat Palestin untuk mencapai hak mereka yang sah.

“Kesungguhan Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett untuk mengekalkan kerajaannya yang rapuh tidak akan mengorbankan rampasan tanah kami, mencuri kekayaan kami dan melanggar tempat suci kami,” tegas Shtayyeh.

Langkah Israel itu turut dikecam sekeras-kerasnya oleh Kementerian Luar Negeri dan Ekspatriat, yang menyifatkan perbuatan berkenaan bertujuan untuk ‘mengorbankan’ negara Palestin.

Kementerian juga mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas Israel yang bersenjata ke atas rakyat Palestin, tanah, kenderaan dan rumah mereka di seluruh Tebing Barat.

“Keputusan pihak berkuasa pendudukan Israel untuk membina beribu-ribu unit penempatan haram baharu adalah tindakan mencabar terhadap konsensus antarabangsa yang menolak penempatan haram,” kata kementerian.

Kenyataan itu menegaskan bahawa penempatan adalah pelanggaran undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Geneva. 

Ia turut menjadi ancaman serius kepada peluang mencapai keamanan serta memulihkan ufuk politik menerusi prinsip penyelesaian dua negara.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button