Dunia

China bina ribuan stesen saringan COVID-19

Usaha pihak berkuasa 'normalkan' pandemik wala selepas penutupan

BEIJING, 6 Syawal 1443H, Sabtu – China sedang menubuhkan ribuan stesen ujian saringan COVID-19 – RT-PCR – dengan 9,000 unit sudah siap di Shanghai sahaja.

Langkah itu sebagai usaha pihak berkuasa untuk ‘menormalkan’ kawalan pandemik walaupun selepas beberapa kali penutupan berakhir.

Pada masa ini, hampir 25 juta penduduk di hab kewangan timur Shanghai kekal di bawah beberapa bentuk penutupan ketika bandar itu giat memerangi wabak terbesar di China.

Dalam usaha untuk mengelak gelombang akan datang, pihak berkuasa perbandaran menyediakan sistem yang akan menjadikan ujian saringan COVID-19 sebagai ciri kekal dalam kehidupan seharian, di mana bandar lain turut mengambil langkah sama.

Naib Presiden bandar, Wu Qing berkata, 5,000 daripada 9,000 tapak ujian saringan di Shanghai kini sudah beroperasi.

Stesen ujian yang ditempatkan di kawasan perumahan, taman perindustrian, blok pejabat, pintu masuk ke stesen kereta api akan membolehkan orang ramai melakukan saringan hanya dalam tempoh 15 minit.

Sebagai sebahagian daripada strategi sifar COVID-19 di China, penduduk bandar termasuk Beijing perlu membiasakan diri melakukan ujian saringan dan menggunakan aplikasi mudah alih ‘kod kesihatan’ untuk memastikan mereka tidak melawat kawasan berisiko tinggi.

Sistem baharu itu akan mewajibkan sesiapa sahaja menjalani ujian PCR dengan keputusan negatif sebelum dibenarkan memasuki ruang awam.

Langkah di Shanghai itu akan turut dilaksanakan di Beijing, bagi memastikan setiap individu yang memasuki bangunan awam menunjukkan ujian saringan negatif dalam tempoh tujuh hari.

Sementara, bandar Hangzhou juga mahu menubuhkan 10,000 stesen ujian dan hanya membenarkan akses ke tempat tumpuan untuk individu yang negatif saringan COVID-19 dalam tempoh 48 jam.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button