Berita UtamaDunia

Ekstremis Yahudi serbu kampung, bakar kereta penduduk Palestin

650,000 pelampau Israel tinggal di penempatan haram

BAITULMAQDIS, 6 Syawal 1443H, Sabtu – Sekumpulan pelampau berhaluan kanan Israel menyerbu masuk kampung Urif, di selatan Nablus dan membakar kereta penduduk Palestin malam tadi.

Menurut agensi berita Wafa, peneroka Israel menyelinap masuk ke kampung itu pada tengah malam dan membakar tiga kenderaan milik tiga warga tempatan Palestin.

Sementara itu, sekumpulan peneroka Israel memecah masuk ke pusat pemeriksaan tentera Israel – yang juga terletak di selatan Nablus – dan secara fizikal menyerang dan menyoal siasat pemandu Palestin dengan membaling batu ke arah mereka, mengakibatkan kecederaan.

Peneroka Israel turut menyerang kenderaan Palestin di pintu masuk kampung Mukhamas – yang terletak di timur laut Baitulmaqdis – dan menakutkan penumpang Palestin.

Insiden vandalisme dan keganasan oleh peneroka ekstremis Yahudi terhadap rakyat Palestin serta harta benda mereka adalah perkara biasa di Tebing Barat.

Mengikut undang-undang antarabangsa, semua penempatan Yahudi di wilayah yang diduduki dianggap haram.

Kira-kira 650,000 pelampau Israel tinggal di lebih 130 penempatan yang dibina sejak 1967, ketika Israel menduduki Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button