Berita Utama

TH beri jaminan tidak wujud ‘kabel’, potong giliran

Bakal jemaah haji dan umrah dinasihat patuhi arahan, SOP semasa Arab Saudi

KOTA BHARU, 6 Syawal 1443H, Sabtu – Tabung Haji (TH) memberi jaminan tidak wujud isu menggunakan ‘kabel’ (kuota orang kenamaan) atau memotong giliran untuk mempercepatkan giliran menunaikan haji.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, tindakan tidak baik itu juga seakan menidakkan hak orang yang telah disenaraikan untuk menunaikan haji.

“Tak elok kalau kita nak pergi haji sehingga terpaksa memotong nama orang yang sudah naik (disenaraikan). Apapun kita doa kalau dah sampai giliran akan pergi.

“Mengenai senarai menunggu, ia mempunyai kriteria tertentu yang menjadi keutamaan TH. Kalau tiada kuota tambahan ataupun semua yang disenaraikan itu tiada masalah dan layak untuk menunaikan haji, jadi tiada kejayaan kepada senarai menunggu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Parlimen Pengkalan Chepa di Kompleks Purnama, Pengkalan Chepa di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Ahmad Marzuk yang juga ahli Parlimen Pengkalan Chepa turut menasihatkan bakal jemaah haji dan juga umrah supaya mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) semasa kerajaan Arab Saudi.

“Jemaah diminta patuh kepada SOP yang telah ditetapkan kerana ia melibatkan keperluan untuk mereka berdisplin agar perjalanan menjadi lancar dan teratur.

“Malah, untuk menyediakan satu-satu SOP ia telah difikirkan dan dikaji secara teliti. Jadi sebarang pelanggaran kepada SOP akan menjejaskan dari sudut kelicinan perjalanan kepada urusan haji,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai penjualan produk berunsurkan penawar dan sunnah yang semakin berleluasa di pasaran, Ahmad Marzuk berkata, peniaga dinasihatkan agar tidak mempromosikan produk dengan meletakkan tarikan termasuk unsur keagamaan yang boleh mencetuskan kekeliruan.

“Pengusaha kepada produk ini perlu benar-benar memahami apa yang dimaksudnya dengan sunnah adakah sama ada ia benar-benar seperti yang dimaksudkan atau sebaliknya. Pastikan produk yang hendak dijual bertepatan dengan tajuk yang dipromosikan.

“Sebagai contoh, ada produk bihun menggunakan lambang masjid namun ia tidak mempunyai sijil halal. Perkara-perkara sebegini boleh mengelirukan pengguna terumanya mereka beragama Islam,” katanya.

Beliau berkata daripada sudut kepenggunaan, orang ramai boleh merujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan membuat laporan sekiranya ada sebarang peraturan yang disifatkan berunsur penipuan.

“Pegawai KPDHNHEP ada di setiap kawasan Parlimen yang ditugaskan untuk menerima aduan berkaitan dengan kesalahan dari segi kepenggunaan. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyerahkan kepada KPDNHEP untuk hal sebegini termasuk membuat pemantauan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button