Pendapat

Hebat agamawan sekarang berdakwah di kelab malam

Jangan terpedaya dengan agamawan bertopeng

BILA sebut tentang dakwah di kelab malam, ramai akan teringat kepada pendekatan dakwah Hassan al-Banna (1906-1949). Kononnya, Hassan al-Banna turut berdakwah hingga ke kelab malam.

Persoalannya, adakah benar wujud kelab malam pada ketika itu? Jika wujud, apakah bentuk kelab malamnya? Adakah macam kelab malam hari ini? Bagaimana pula pendekatan Hassan al-Banna ketika masuk ke premis tersebut.

Jika hujah cara dakwah Hassan al-Banna mahu digunakan, ini bukan caranya dengan headbanging dan gerakan tangan seolah-olah sedang memukul drum diapit dua perempuan seksi.

‘Kelab malam’ Mesir zaman dahulu, macam kedai kopi sahaja atau “maqha”. Mana ada kelab malam zaman dahulu begitu menggila keadaan muzik dan manusia seperti masa kini.

Kelab malam dulu jika mahu disebut sebagai kelab malam adalah seperti kedai kopi sahaja. Dalam kata lain, macam kedai kopi kampung sahaja.

Ada meja, kerusi. Jika ada muzik pun, ringan sahaja, tidaklah sehebat hari ini. Jika ada pun unsur lain, mungkin ada pun yang lain, mungkin ada hookah shisha.

Justeru, jangan jaja cerita, Hasan Al-banna berdakwah ke kelab malam, maka hari ini kita perlu ikut jejak beliau. Perbandingan yang digunakan jauh sama sekali.

Jangan kerana seseorang itu berada di Oxford, kita merasakan dia terlalu hebat.

Ramai sahaja lulusan Oxford, Harvard dan Cambridge, tak ke mana-mana pun. Buah fikiran mereka, biasa-biasa sahaja.

Persoalannya, bukan nama Oxford, Harvard atau Cambridge, tetapi agamawan atau sarjana benar-benar tertonjol kesarjanaannya atau tidak. Apakah kesarjanaan benar-benar dapat membawa orang berfikir.

Kepada saya, kehebatan seseorang sarjana, sejauh mana dia berjaya membawa orang berfikir. Sekadar datang dari Oxford memberikan syarahan dengan istilah bombastik, itu biasa.

Sekadar menjadi sarjana dalam bidang “Skolastic philosophy” (falsafah skolastik) dan “history of science” (sejarah sains) tidak bermakna orang itu bagus meskipun belajar di Oxford atau Harvard.

Sarjana sampah seperti ini ramai sahaja, berada di mana-mana. Cuba cari berapa ramai rakyat Malaysia yang belajar di Oxford, Harvard dan Cambridge, adakah semua ini menjadi orang yang berguna?

Penilaian kita terhadap seseorang bukan di mana tempat dia belajar, tetapi akhlak dan keperibadiannya. Meskinya sarjana daripada daripada universiti tempatan.

Selepas peralihan daripada pandemik kepada andemik, kelab malam dibenarkan beroperasi, macam-macam berlaku. Rupanya ramai juga orang Islam berkunjung ke kelab malam. Ingatnya ramai bukan Islam.

Ikut kenalan, ramai orang bergelar, beragama Islam mengunjungi tempat tersebut. Bila terperangkap, maka pendekatan berdakwah Hassan al-Banna pun digunakan. Inilah penunggang agama, harapkan pegar, pegar makan padi.

Seorang sarjana, lebih-lebih lagi agamawan tidak akan berkunjung ke tempat sedemikian rupa. Jika pun berkunjung, sekadar sebentar sahaja setelah melunaskan tanggungjawabnya, seperti menyebarkan risalah dan mengajak orang kembali ke jalan benar, bukannya duduk relaks, headbanging dan ‘memukul drum’ serta diapit oleh wanita seksi.

Kelab malam bukanlah tempat untuk duduk lama, menggila sedemikian rupa. Tempat sedemikian, tidak sesuai untuk membawa anak dan isteri bersekali, walaupun apa juga alasan yang diberikan.

Jika kelab malam itu halal sudah tentu ia turut beroperasi pada waktu siang. Tidak pula jumpa nama Kelab Siang, tetapi namanya Kelab Malam. Operasinya hingga menjelang pagi.

Saya tidak menjadi masalah jika agamawan mahu berdakwah di kelab malam, tetapi awas, jangan sampai terjerumus.

Melihat kepada suasana kelab malam, tendensi untuk ikut terjerumus atau ikut arus ke dalam kemungkaran sangatlah besar.

Buat masa ini, saya tidak fikir, agamawan yang dipercayai dan diberikan amanah, sesuai untuk mengunjungi premis tesebut kerana ditakuti mengundang kepada fitnah dan mehnah dan tidak mustahil berpotensi terjerumus atau terseret ke lembah kemaksiatan.

Dalam kaedah Islam, ketika seseorang dihadapkan pada dua pilihan antara memilih antara mendatangi sebuah undangan di tempat yang penuh maksiat dan/atau lebih baik tidak datang, maka menurut Mazhab Syafii, ia dianjurkan, lebih baik ia tidak datang.

Dalam kitab Fathu al-Barri dijelaskan:

“Jika di tempat undangan itu terdapat perkara yang diharamkan seperti meminum minuman keras dan yang diundang merupakan seseorang yang kehadirannya dapat menghilangkan kemungkaran tersebut, maka ia wajib untuk menghindari. Jika tidak demikian, menurut Imam Syafii ada dua pendapat. Yang pertama boleh hadir serta mengingkari semampunya walaupun yang lebih baik tidak usah hadir.” (Juz 9: 250)

Tidak dinafikan ada agamawan dahulu yang kental jiwanya, pernah menjalankan dakwah di tempat sedemikian rupa. Mereka ini memang memiliki kemampuan luar biasa dalam menangani dan mendepani orang seperti ini. Namun, mereka tidaklah sampai ke peringkat headbanging dan drumming dan diapitkan dengan perempuan seksi.

Mungkin dalam kaca mata awam, agamawan mempunyai sosok yang cukup kuat meskipun berada di premis penuh kontroversi itu. Persoalannya, adakah kita begitu kuat untuk mengelak daripada terjerumus ke dalam kemungkaran tersebut?

Saya yang dulunya bukan Islam, pernah mengunjungi tempat maksiat seperti itu pun tidak ada kekuatan lagi hari ini untuk pergi berdakwah. Hebatnya agamawan ini, seolah-olah mereka ada pengalaman, sudah biasa pergi ke tempat tersebut, dengan goyangan kepala dan hentaman drum.

Agamawan lain yang melihat sesuatu yang belum pasti, tidak perlulah lebih garpu daripada sudu. Belum apa-apa sudah keluarkan kenyataan melulu, bagi tujuan untuk ‘cover’. Kadangkala, dalam dakwah, diam itu lebih baik daripada bertindak melulu.

Kepada tokoh yang dikaitkan dengan kontroversi tersebut, tampillah ke hadapan untuk sama ada mengakui atau menafikan, supaya khalayak tidak membuat spekulasi. Tidak ada ertinya kita berlindung di bawah ketiak pembesar untuk melindungi diri.

Lebih malang lagi, kita gunakan kesempatan keberadaan di celah ketiak pembesar untuk memporak-perandakan institusi agama hari ini.

Ingat! Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya, ke tanah jua. Jangan sembunyi pekung di dada, suatu hari pasti pekung itu akan keluar.

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button