Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Dunia

Sekatan pengganas Israel burukkan ekonomi Palestin

Perlukan pendekatan strategik untuk pembangunan wilayah Palestin

GENEVA, 7 Syawal 1443H, Ahad – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa pendekatan yang lebih strategik untuk menangani krisis ekonomi dan fiskal di Palestin.

Gesaan itu dibuat dalam laporan yang dikeluarkan  pejabat Penyelaras Khas PBB untuk Proses Keamanan Timur Tengah (UNSCO), Tor Wennesland menjelang mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan Ad Hoc (AHLC) pada 10 Mei ini di Brussels.

AHLC – yang dipengerusikan oleh Norway – adalah mekanisme penyelarasan peringkat dasar utama untuk bantuan pembangunan kepada wilayah Palestin.

Penaja utama jawatankuasa itu adalah Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU).

Dalam laporan itu, UNSCO memberi amaran terhadap pendekatan tidak selaras dalam menangani cabaran politik, ekonomi dan keselamatan semasa.

Katanya, langkah ekonomi sahaja, termasuk reformasi fiskal Palestin dan kelonggaran sekatan pergerakan oleh Israel ke atas rakyat Palestin tidak akan menangani pelbagai krisis secara mampan.

“Kita gesa semua pihak menekankan paradigma pengurusan konflik kepada paradigma penyelesaian konflik.

“Dengan perspektif ini, terdapat langkah-langkah yang boleh diambil segera untuk memperbaiki keadaan.

“Terdapat keperluan untuk mewujudkan langkah tambahan yang lebih baik untuk mengukuhkan Pihak Berkuasa Palestin dan jelas menunjukkan jalan ke arah penyelesaian dua negara. Langkah itu memerlukan kepimpinan politik,” kata Wennesland.

Laporan itu turut memberi amaran bahawa sekatan pengganas Israel khususnya di Kawasan C, menghalang pertumbuhan ekonomi Palestin.

“Sekatan pergerakan dan penggunaan tanah Israel, aktiviti penempatan dan peluasan haram serta kekurangan permit bangunan dari Israel akan menyukarkan rakyat Palestin berkembang,” katanya.

Mengikut Perjanjian Oslo 1995 antara Israel dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Kawasan A, B dan C.

Kawasan C berada di bawah kawalan pentadbiran dan keselamatan rejim Israel sehingga perjanjian status muktamad dicapai dengan Palestin.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button