Berita Utama

Suami pukul isteri hingga mati didakwa esok

Ada kesan lebam di beberapa anggota badan mangsa

BANGI, 7 Syawal 1443H, Ahad – Mekanik yang memukul isterinya sehingga meninggal dunia akan didakwa di Mahkamah Majistret Kajang esok.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, siasatan menemukan bukti dan keterangan jelas mengaitkan suspek terbabit dalam kes itu.

Beliau dalam kenyataan berkata, kes telah dirujuk ke kamar Timbalan Pendakwa Raya Selangor dan suspek akan dituduh Isnin ini di Mahkamah Majistret Kajang.

Jumaat lalu, media melaporkan seorang wanita dipukul dengan senjata tumpul sehingga maut dalam kejadian di sebuah flat di Balai Batu 9, Cheras pada 1 Mei lalu.

Mohd Zaid dilaporkan berkata, kejadian berpunca daripada suspek yang marah selepas mengetahui tindakan mangsa menghebahkan situasi rumah tangga mereka di media sosial.

Katanya, mangsa berusia 28 tahun itu dihantar ke Hospital Kajang dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh suaminya, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Pemeriksaan luaran ke atas mangsa mendapati kematian itu mencurigakan apabila ada kesan lebam di beberapa anggota badan mangsa.

“Polis Ibu Pejabat Daerah Kajang kemudiannya menerima laporan polis daripada pegawai perubatan yang bertugas di Hospital Kajang pada jam 9.16 pagi pada hari sama,” katanya.

Susulan itu, pihak polis menahan suspek bagi menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button