Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Dunia

Taliban wajibkan wanita pakai burqa

Penjawat awam tak ikut undang-undang akan dipecat

KABUL, 7 Syawal 1443H, Ahad – Taliban memperkenalkan semula langkah kontroversi daripada pemerintahannya pada 1995 hingga 2001 berkaitan pemakaian bagi wanita Afghanistan.

Semalam, kerajaan Taliban mengeluarkan dekri melarang wanita meninggalkan rumah mereka tanpa memakai burqa – pakaian yang menutup mereka dari kepala hingga kaki.

Kementerian bagi Penyebaran Kebajikan dan Pencegahan Maksiat melancarkan draf undang-undang berkaitan pakaian itu, dan telah diluluskan melalui dekri yang ditandatangani oleh pemimpin tertinggi Taliban, Mawlawi Hibatullah Akhundzada.

Dalam dekri itu, mana-mana pakaian yang menutup badan wanita boleh diterima dengan syarat ia tidak ketat atau nipis sehingga mendedahkan tubuh, kata jurucakap kementerian, Akif Muhajir.

Katanya, pakaian yang boleh diterima adalah menutup seluruh badan, dan undang-undang itu turut termaktub kepada remaja perempuan yang sudah akil baligh berusia antara 10 hingga 13 tahun.

Taliban melihat burqa sebagai pakaian tradisional tertua dan pakaian terbaik buat wanita, dan pernah menguatkuasakannya ketika memerintah Afghanistan dari 1995 hingga 2001.

Muhajir berkata, jika penjawat awam tidak menghormati undang-undang yang diperkenalkan semula itu, mereka boleh dipecat.

“Mereka akan diberi amaran pada fasa pertama, tetapi jika masih tidak mengikut undang-undang, mereka akan dipecat,” katanya.

Katanya, syarat yang sama akan dikuat kuasakan di institusi pendidikan – yang telah ditutup sejak Taliban mengambil alih semula kuasa pada Ogos lalu.

Ditanya mengenai negara asing yang membangkitkan kebimbangan mengenai sekatan ke atas kebebasan wanita, Muhajir berkata, mereka tiada hak untuk mempersoalkan tindakan Taliban mewajibkan burqa sebagaimana tindakan mereka melarang pemakaian di negara Barat.

Di bawah undang-undang itu, penjaga lelaki bagi mana-mana wanita yang tidak bertudung atau burqa akan dikenakan hukuman.

Sekiranya berlaku pelanggaran berulang, penjaga akan dipanggil ke jabatan sebelum ke mahkamah bagi memutuskan hukuman.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button