Berita Utama

6 pejabat Imigresen bakal beroperasi sehingga 10 malam

Tampung peningkatan mendadak permintaan pasport

PUTRAJAYA, 8 Syawal 1443H, Isnin – Waktu operasi di enam pejabat Imigresen akan dilanjutkan hingga 10 malam mulai Rabu (11 Mei) bagi menampung peningkatan mendadak dalam permintaan perkhidmatan pasport.

Pejabat yang terlibat adalah di Putrajaya, Kuala Lumpur Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Sementara pejabat imigresen di Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu dan Perlis akan dibuka sehingga 6 petang.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, jumlah permohonan untuk memperbaharui atau mendapatkan pasport meningkat sebanyak 40 peratus sejak kerajaan mengumumkan pembukaan semula sempadan bermula 1 April.

Antara 1 April dan 6 Mei, sejumlah 165,449 pasport telah dikeluarkan.

“Kami sedar isu yang dibangkitkan orang ramai mengenai perkara ini dan kami telah mengambil langkah segera bagi memastikan perkhidmatan berjalan lancar,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Khairul Dzaimee berkata, sehingga 14 April, semua pejabat pengeluaran pasport di Semenanjung Malaysia akan beroperasi dari 8 pagi hingga 12.30 tengah hari pada hari Sabtu juga.

Pejabat imigresen di bangunan UTC di semenanjung juga akan dibuka sehingga jam 10 malam setiap hari setelah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan.

“Kami juga telah membuka kaunter khas untuk membantu mereka yang ditawarkan menunaikan haji menyelesaikan urusan pasport mereka,” kata Khairul Dzaimee.

Beliau juga berkata, sistem temu janji dalam talian imigresen akan dibatalkan mulai Rabu.

“Semua urusan pembaharuan pasport hendaklah dibuat secara dalam talian, kecuali permohonan baharu, warga emas, orang kelainan upaya, kanak-kanak bawah 13 tahun, pelajar dan jemaah haji,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button