Berita Utama

801 individu ditahan terbabit kes judi di Kedah

Polis rampas 478 alat peranti, wang tunai berjumlah RM139,922

ALOR SETAR, 8 Syawal 1443H, Isnin – Seramai 801 individu ditahan kerana terlibat dalam kegiatan perjudian di negeri ini bagi tempoh 1 Januari tahun ini hingga Sabtu lepas.

Ketua Polis Kedah CP Wan Hassan Wan Ahmad berkata, kesemua mereka ditahan menerusi 707 serbuan yang dilaksanakan menerusi operasi khas perjudian.

“Dalam kesemua operasi itu polis telah merampas sebanyak 478 alat peranti berupa telefon bimbit, komputer serta wang tunai berjumlah RM139,922,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 4A(a), Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Bagi operasi pembanterasan aktiviti maksiat dan hiburan pula, sebanyak 27 serbuan telah dilakukan dengan seramai 30 individu ditahan atas pelbagai kesalahan antaranya pelacuran dan menjalankan perniagaan tanpa lesen hiburan yang sah.

Sementara itu, Wan Hassan berkata, bagi tempoh sama sebanyak tujuh serbuan turut dilakukan melibatkan kes di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Seramai tujuh tekong darat atau ‘transporter’ telah ditahan manakala tangkapan pendatang tanpa izin adalah seramai 113 orang. Sebahagian mereka dituduh mengikut Seksyen 26A Akta ATIPSOM 2007 manakala seramai 100 pendatang tanpa izin dituduh di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.

Katanya, pihak polis akan terus mengambil tindakan proaktif bagi memastikan kesemua aktiviti perjudian, maksiat serta pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di negeri ini dapat dibanteras. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button