Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Harga barangan meningkat, mana usaha agresif KPDNHEP?

Rakyat seolah terpaksa terima perubahan harga: BERJASA

BANGI, 8 Syawal 1443H, Isnin – Pelbagai desakan dan cadangan telah diberikan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk lebih agresif dalam menangani kenaikan harga barangan.

Namun, sehingga kini KPDNHEP dilihat seolah-olah ‘membiarkan’ rakyat menerima perubahan harga yang berlaku tanpa ada sebarang tindakan. 

Ketua Pemuda BERJASA, Fahmi Bazlan berkata, pihaknya sentiasa memandang serius isu harga barang yang terus meningkat terutama pada setiap kali musim perayaan.

“Bagi kami, kerajaan tak serius menyelesaikan masalah kenaikan harga barang.

“Sepatutnya kerjasama dengan pelbagai kementerian berkaitan sangat diperlukan. Ini bukan isu remeh. Rakyat nak hidup,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, pada Oktober tahun lepas, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah pun menggariskan tujuh cabaran utama sekuriti makanan yang bakal negara hadapi. 

“Mereka dah siap rangka Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 (Pelan Tindakan DSMN) untuk mengangkat aspirasi keselamatan makanan, tapi apa jadi sampai sekarang?

“Tak cukup dengan itu, MAFI juga pernah mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Sekuriti Makanan di setiap negeri. Ini juga disebabkan tanggungjawab besar kerajaan Persekutuan yang perlu melibatkan kerajaan negeri, supaya tadbir urus merentas jabatan dan agensi berjalan dengan baik. 

“Tapi sama juga, apa hasilnya?,” soalnya yang menuntut tindakan proaktif pihak berkaitan.

Beliau berkata, Jawatankuasa Sekuriti Makanan ini sebenarnya adalah agensi terbaik untuk menggerakkan Pelan Tindakan DSMN dengan lebih berkesan. 

Katanya, usaha itu akan merancakkan lagi sektor agromakanan dengan membina kerjasama bersama pemain industri pertanian bagi memastikan kelangsungan rantaian bekalan keselamatan makanan yang bermula dari ladang atau bendang sawah.

“Usaha ini boleh melancarkan rantaian makanan seperti pengeluaran, pengedaran, pemasaran dan peruncitan produk hasil pertanian dan industri makanan. 

“Kita bukan negara pertama, ketika ini, beberapa negara jiran telah pun lebih awal menubuhkan agensi yang sama bagi menangani isu ini seperti Singapura yang mempunyai Agensi Makanan Singapura (SFA) sejak 1 April 2019.

“Buat Kabinet kerajaan, cepatkanlah selesaikan isu makanan. Kita bukan tak pernah ada perancangan, cuma kita lemah pada ‘execution’,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button