Berita Utama

Hospital Kajang cipta sejarah laksana prosedur derma organ

Lebih 4,600 pesakit di dalam senarai menunggu organ

BANGI, 8 Syawal 1443H, Isnin – Hospital Kajang mencipta rekod tersendiri apabila berjaya melaksanakan prosedur pendermaan organ buat kali pertama, semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, prosedur berkenaan dijayakan hasil kerjasama daripada beberapa pihak termasuk Jabatan Anestesiologi & Unit Rawatan Rapi, Jabatan Perubatan, Jabatan Patologi, Jabatan Radiologi, Jabatan Kecemasan dan Unit Forensik Hospital Kajang serta pasukan pakar Urologi Hospital Kuala Lumpur.

“Kementerian Kesihatan Malaysia juga ingin merakamkan penghargaan kepada keluarga penderma atas tindakan murni ini.

“Pendermaan organ merupakan anugerah kehidupan yang sangat bernilai kerana ia bukan sahaja memberikan kualiti hidup yang lebih baik.

“Tetapi mampu menyelamatkan nyawa pesakit-pesakit yang mengalami kegagalan fungsi organ,” katanya menerusi perkongsian di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini, lebih 4,600 pesakit di dalam senarai menunggu organ.

Malah sehingga kini, 2,624 pesakit menerima manfaat pembedahan transplantasi organ hasil pendermaan organ selepas kematian dan penderma hidup.

Katanya lagi, dalam usaha menyelaras dan melicinkan proses pendermaan organ unit perolehan organ telah ditubuhkan di hospital-hospital sebagai inisiatif mengukuhkan perkhidmatan tersebut.

Justeru, beliau menyeru semua pihak untuk terus menyokong program pendermaan organ bagi membantu pesakit-pesakit.

“Daftarlah sebagai pengikrar derma organ dan maklumkan hasrat kepada keluarga,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button