Berita UtamaIstimewa

Dong Zong lulus 7 resolusi, tuntut kaligrafi lain diajar selari Jawi

Desak iktiraf UEC, hak vernakular, salur peruntukan secara adil

KAJANG, 5 Zulhijjah 1441H, Ahad – Sebanyak tujuh resolusi telah diluluskan dalam Mesyuarat Agung Dong Zong bagi tahun 2020, hari ini, antaranya menuntut pengenalan tulisan Jawi di sekolah dilaksana seiring dengan pengenalan seni kaligrafi kaum lain.

Menurut laporan mesyuarat agung tersebut, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa, untuk merujuk kepada kandungan buku teks Bahasa Melayu tahun 5 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang telah digunakan semenjak 2015 hingga kini.

Katanya, buku itu tidak mengandungi Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) dalam memperkenalkan seni kaligrafi dari pelbagai kaum, seperti tulisan Jawi, kaligrafi Cina dan Tamil, yang mana lebih sesuai dengan keadaan negara yang terdiri dari masyarakat pelbagai kaum.

Akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily melaporkan, enam lagi resolusi lain yang telah diluluskan adalah mengenai semakan semula Akta Pendidikan 1996, menubuhkan jawatankuasa pemantau pendidikan, penyaluran peruntukan secara adil kepada semua jenis aliran pendidikan.

Dong Zong turut mendesak, kerajaan menyegerakan pengiktirafan sijil UEC, mengembalikan status perundangan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) serta pengecualian cukai tambahan ke atas pertubuhan tidak berasaskan keuntungan dan institusi pendidikan persendirian.

Menurut mesyuarat agung itu, dasar pendidikan yang berat sebelah telah lama wujud di negara ini dan terdapat halangan dalam perpaduan kaum.

“Oleh itu, KPM patut menyemak semula Akta Pendidikan 1996 bagi mengiktiraf status perundangan sistem pendidikan semua jenis aliran sebagai jaminan keadilan dalam pendidikan dan hak pendidikan vernakular.

“Mesyuarat agung berpendapat, kerajaan patut menubuhkan jawatankuasa pemantau pendidikan, untuk memantau pelaksanaan berkaitan penguatkuasaan awam, meningkatkan keberkesanan dalam pentadbiran dan mencegah penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Selain itu, Dong Zong turut menuntut supaya majlis jawatankuasa itu mempunyai taraf undang-undang, selain perlu menyerahkan laporan tahunan kepada Parlimen untuk menjamin kebebasannya.

Pada masa sama, pertubuhan itu juga menggesa, kerajaan menyalurkan peruntukan secara adil kepada semua jenis aliran pendidikan.

Bahkan, menggesa kerajaan membina sekolah pelbagai aliran mengikut permintaan komuniti setempat dan mengamalkan prinsip keadilan dalam pendidikan.

“Walaupun sekolah pelbagai aliran telah melahirkan ramai golongan profesional dalam pelbagai bidang, tetapi ia tidak mendapat peruntukan pendidikan yang adil dan keadaan ini telah lama berlaku. 

“Jumlah peruntukan yang tidak munasabah akan menjejaskan kualtiti pendidikan, tidak memberi manfaat kepada negara dan tidak juga meningkatkan mutu pelajar mengikut standard antarabangsa,” katanya.

Bukan itu sahaja, Dong Zong dalam resolusinya turut menggesa kerajaan mempercepatkan pengiktirafan penuh sijil sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) UEC, agar ia boleh digunakan sebagai kelayakan untuk memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Jabatan Perkhidmatan Awam.

Ini kerana, katanya, sukatan pelajaran bersepadu SMPC mengandungi mata pelajaran Sejarah dan mematuhi garis panduan standard yang dikehendaki KPM, selain menjadikan buku-buku mata pelajaran standard KPM sebagai rujukan termasuklah mewajibkan bahasa Melayu sebagai mata pelajaran wajib.

“Merujuk kepada janji pilihan raya umum 2018, semua parti politik dari pihak kerajaan dan pembangkang telah bersetuju untuk mengiktiraf UEC sehingga dijadikan salah satu manifesto pilihan raya ketika berkempen, jadi ia patut ditunaikan segera,” kata pertubuhan itu.

Tidak cukup dengan itu, Dong Zong dalam resolusi mesyuarat agungnya juga meminta kerajaan agar memberi pengecualian cukai tambahan kepada pertubuhan tidak berasaskan keuntungan dan institusi pengajian persendirian.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button