Berita Utama

Malaysia laksana 15,565 jujukan genom virus COVID-19

Penting untuk kawal dan bendung penularan varian-varian

PUTRAJAYA, 8 Syawal 1443H, Isnin – Malaysia telah melaksanakan 15,565 penjujukan genom virus SARS-CoV-2 dalam tempoh 1 September 2021 hingga 27 April 2022 bagi mengenal pasti jenis varian COVID-19 utama di negara ini, menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Penjujukan genom itu dilaksanakan oleh makmal di bawah MOSTI, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi projek penelitian genomik virus SARS-CoV-2.

Hasil penjujukan genom itu, sebanyak 7,245 sampel atau 46.55 peratus dikenal pasti sebagai varian Delta, 6,374 sampel atau 40.95 peratus adalah varian Omicron, Beta (283 sampel atau 1.82 peratus), Alpha (33 sampel atau 0.21 peratus) manakala bakinya varian lain.

“Sampel-sampel ini dipilih oleh KKM dan diambil dari semua negeri di Malaysia. Maklumat genom virus SARS-CoV-2 berkenaan telah dimuat naik ke pangkalan data Global Initiative on Sharing Avian Influenza Data (GISAID),” kata MOSTI dalam kenyataan hari ini.

Menurut MOSTI, analisis garis masa pola perubahan varian di Malaysia menunjukkan peningkatan jumlah varian Delta dan Omicron masing-masing bermula sekitar Ogos 2021 dan Disember 2021.

Projek penelitian genomik virus SARS-CoV-2 itu dilaksanakan secara berfasa iaitu Fasa 1 bermula 1 September 2021 hingga Mac 2022, Fasa 2 bermula Mac 2022 hingga September 2022 serta fasa-fasa selanjutnya.

Sementara itu, MOSTI berkata, dana tambahan sebanyak RM15 juta di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah diluluskan bagi membiayai projek penelitian genomik virus SARS-CoV-2 Fasa 3.

“Projek penelitian genomik virus SARS-CoV-2 itu amat penting dan strategik bagi mengenal pasti serta memantau varian virus SARS-CoV-2 di Malaysia terutamanya varian membimbangkan (VOC) seperti varian Omicron dan Delta,” katanya.

Menurut MOSTI, konsortium 11 buah makmal yang diselaraskan oleh Institut Genom dan Vaksin Malaysia-Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (MGVI-NIBM) menyasarkan untuk menjujuk sebanyak 15,000 tambahan genom virus SARS-CoV-2.

Konsortium 11 buah makmal itu terdiri daripada MGVI-NIBM di bawah MOSTI,  Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) dan sembilan buah makmal di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Antara makmal di bawah KPT yang terlibat adalah Institute of Health and Community Medicine dari Universiti Malaysia Sarawak, Hospital Universiti Sains Malaysia, Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia dan Institut Penyelidikan Bioteknologi Universiti Malaysia Sabah.

“Maklumat berkenaan genom varian virus SARS-CoV-2 adalah amat penting untuk kerajaan mengambil tindakan yang wajar dan khusus bagi mengawal dan membendung penularan varian-varian berkaitan.

“Pada masa ini, kadar penelitian genomik bagi negara kita masih kurang daripada satu peratus, bagaimanapun Fasa 3 ini adalah sebahagian dari usaha positif bagi mencapai sekurang-kurangnya satu peratus kadar penelitian genomik seperti yang disasarkan oleh kerajaan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button