Rejim haram Zionis terus kejam tembak mati penduduk Palestin
Dakwa ada kaitan dengan kes tikaman seorang anggota polis di Baitulmaqdis

RAMALLAH, 8 Syawal 1443H, Isnin – Tentera Israel menembak mati seorang lelaki Palestin berhampiran penghadang Tebing Barat yang diduduki pada Ahad.
Bahkan seorang lagi terbunuh selepas menyusup masuk ke penempatan haram Yahudi di dalam wilayah yang diduduki, kata tentera Israel.
Insiden itu seiring dengan tikaman seorang anggota polis di Baitulmaqdis, berlaku beberapa jam selepas tentera Israel menahan dua rakyat Palestin yang disyaki membunuh tiga orang warga Israel di bandar Elad ultra-Ortodoks Yahudi pada Hari Kemerdekaan Israel Khamis lalu.
Tentera Israel mendakwa, seorang warga palestin ditembak semalam selepas askar ternampak suspek yang cuba melintasi pagar keselamatan secara haram di kawasan bandar Tulkarm Tebing Barat.
“Askar terbabit bertindak menahan suspek mengikut prosedur operasi standard, menggunakan tembakan langsung,” kata jurucakap tentera.
Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan lelaki berkenaan dibunuh.
Beberapa jam kemudian, tentera berkata, seorang orang awam menembak seorang warga Palestin yang bersenjatakan pisau yang memecah masuk ke penempatan Tekoa di Tebing Barat.
Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan, seorang warga Palestin berusia 17 tahun terbunuh di lokasi kejadian.
Juga pada Ahad, polis Israel mendakwa, seorang warga Palestin menikam salah seorang pegawai mereka di luar Kota Lama Baitulmaqdis dan ditembak.
Kedua-duanya yang mengalami kecederaan sedang dirawat. – Agensi