Berita Utama

Stesen minyak boleh tambah had kuantiti simpanan RON 95

Tangki simpanan tak mampu tampung permintaan pengguna

BANGI, 8 Syawal 1443H, Isnin – Bagi memastikan bekalan petrol mencukupi sepanjang musim perayaan, semua stesen minyak di seluruh negara dibenarkan menambah had kuantiti simpanan terutama petrol RON95.

Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya telah menjangkakan berlaku peningkatan jumlah kenderaan sepanjang musim perayaan berikutan peralihan negara ke fasa endemik dan pembukaan sempadan negara.

“Namun setiap stesen minyak mempunyai kadar had kuantiti simpanan yang berbeza tertakluk kepada luas premis dan sistem simpanan tangki bawah tanah (UGT) masing-masing.

“Berdasarkan Garis Panduan Pelesenan Barang-Barang Kawalan Berjadual (CSA), kadar had kuantiti ini ditentukan menerusi surat sokongan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat yang menentukan had kuantiti simpan yang sesuai.

“Bagi menghadapi sebarang kemungkinan dan memastikan bekalan mencukupi, KPDNHEP mengambil langkah awal dengan mengadakan sesi libat urus bersama Persatuan Pengusaha Stesen Minyak (PDAM) bagi pastikan semua stesen minyak berada dalam keadaan siap siaga,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas aduan dan rungutan orang ramai berkaitan isu bekalan petrol RON 95 yang terjejas di beberapa kawasan, sempena sambutan Aidilfitri, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, kelewatan kapal tangki yang membawa minyak untuk sampai di terminal di Bagan Luar, Pulau Pinang dan Kuantan, Pahang juga adalah penyumbang kepada berlakunya kehabisan bekalan minyak.

Selain itu, kapasiti tangki simpanan di stesen-stesen minyak tertentu juga tidak mampu untuk menampung permintaan pengguna.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button