Berita UtamaDunia

Ferdinand Marcos Jr menang besar Pilihan Raya Presiden

Dijangka teruskan dasar Duterte, pendekatan keras tanpa belas kasihan

MANILA, 9 Syawal 1443H, Selasa – Ferdinand Marcos Jr memperoleh kemenangan besar dalam Pilihan raya Presiden, sekali gus mengembalikan tampuk kuasa selepas hampir tiga dekad menjalani kehidupan dalam buangan di Amerika Syarikat (AS).

Berdasarkan keputusan tidak rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (COMELEC) Filipina, Marcos Jr yang dikenali Bongbong memperoleh 29.9 juta undi, lebih dua kali ganda berbanding Naib Presiden Filipina, Leni Robredo, dengan 93.8 peratus undi sudah selesai dikira.

Keputusan rasmi dijangka diumumkan hujung bulan ini.

Marcos Jr yang membesar di Istana Presiden pernah bercita-cita menjadi angkasawan sebelum mengikut langkah bapa terlibat dalam politik.

Sebelum ini beliau pernah berkhidmat sebagai gabenor, anggota kongres dan senator, manakala kakaknya, Imee, kini menggalas tugas sebagai senator.

Manakala ibunya, Imelda, pernah menjadi anggota kongres selama empat penggal, selain anaknya, Ferdinand Alexander dijangka menang kerusi kongres.

Marcos Jr bagaimanapun, tidak memaklumkan sebarang platform dasar ketika berkempen, sebaliknya hanya menyampaikan mesej penyatuan yang ringkas.

Bagi tempoh enam tahun sebagai Presiden Filipina, beliau dijangka meneruskan dasar Rodrigo Duterte, iaitu pendekatan keras tanpa belas kasihan menjadikannya popular serta membantunya mengekalkan kuasa pemerintahan.

Kira-kira 65 juta warga Filipina layak untuk keluar mengundi bagi memilih presiden, naib presiden, kerusi legislatif dan ribuan jawatan tempatan merangkumi gabenor sehinggalah datuk bandar dan ahli majlis perbandaran. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button