Pendapat

Siri I: Sorotan Perjuangan Pembebasan Palestin

Penghujung abad ke-19, ada gerakan tubuhkan negara Yahudi atas tanah Palestin

PERJUANGAN Palestin merupakan suatu sejarah yang panjang, bukan hanya bermula seabad yang lalu. Hakikatnya perjuangan pembebasan Palestin ini telah bermula di zaman baginda Rasulullah SAW lagi.

Baginda telah menjejakkan kaki ke Masjid Al-Aqsa pada malam Israk dan Mikraj, dan langkah ke arah pembebasan bumi Baitulmaqdis telah digerakkan oleh baginda sendiri.

Rasulullah telah menghantar utusan untuk menyampaikan surat seruan dakwah Islam kepada Maharaja Rom, yang dihantar di bandar Aelia, iaitu nama lama kota Baitulmaqdis.

Baginda telah melancarkan 15 operasi ketenteraan ke arah bumi Syam dan Baitulmaqdis selepas Perjanjian Hudaibiyah (pada 6 Hijrah) sehinggalah kewafatan baginda.

Perang yang paling hampir dengan Baitulmaqdis di zaman Rasulullah SAW adalah Perang Mu’tah, iaitu sekitar 85km menghampiri Kota Suci tersebut.

Ketika perang terakhir Rasulullah SAW iaitu Perang Tabuk (pada 9 Hijrah), baginda telah menyampaikan hadis tentang Pembukaan Baitulmaqdis yang akan berlaku selepas kewafatannya.

Perjuangan suci membebaskan Baitulmaqdis ini akhirnya disempurnakan oleh Khalifah Umar Al-Khattab dengan kemaraan Islam ke bumi Syam dan berlakunya Pembukaan Baitulmaqdis pada 15 Hijrah.

Sejarah menyaksikan bumi Baitulmaqdis telah dijajah oleh Tentera Salib pada tahun 1099, namun umat Islam telah bangkit daripada kejatuhan dan berusaha untuk membebaskannya semula walaupun mengambil masa hampir seabad.

Akhirnya setelah menyatukan semula wilayah-wilayah Islam, Sultan Salahuddin Al-Ayyubi telah membebaskan Baitulmaqdis pada tahun 1187, iaitu selepas 88 tahun penjajahan zalim Kerajaan Tentera Salib. Kemenangan ini tiba selepas perjuangan yang panjang.

Ancaman terhadap Baitulmaqdis dan bumi Palestin tidak pernah berakhir, pada penghujung abad ke-19, orang Yahudi telah beramai-ramai menerima agenda Zionisme iaitu suatu gerakan bagi menubuhkan negara Yahudi di atas tanah Palestin.

Agenda ini disebarluaskan oleh Theodor Herzl, seorang wartawan dan aktivis politik Yahudi yang telah menulis sebuah buku bertajuk ‘Negara Yahudi’ yang disebarkan kepada masyarakat Yahudi di seluruh Eropah pada tahun 1896.

Ustaz Ahmad Nu’man Mazlan

*Disiarkan pertama kali di Utusan Malaysia dengan pindaan editor.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button