Berita Utama

Gesa naikkan elaun guru warden setimpal dengan beban

Syor kerani asrama diganti dengan jawatan warden sepenuh masa

BANGI, 9 Syawal 1443H, Selasa – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta mengkaji semula tugas guru yang memikul tanggungjawab sebagai warden asrama – ini supaya amanah yang diberikan tidak terus terbeban.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan parti BERJASA, Zulkifli Yahya berkata, selama lebih 30 tahun berada dalam sektor perguruan, isu beban tugas guru warden telah lama dibincangkan tetapi hingga kini belum ada jalan penyelesaian.

“Saya tahu mereka tertekan dan terbeban, ini kerana guru warden juga terpaksa membuat tugas hakikinya mengajar di samping tugas warden.

“Justeru menjadi kemestian untuk KPM melihat secara serius perkara ini, selain menaikkan kadar elaun guru warden yang setimpal dengan beban,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zulkifli yang juga merupakan mantan Nazir di Perak berkata, tugas warden bermula seawal Subuh untuk memastikan pelajar bangun sebelum diberikan sarapan dan masuk ke kelas dengan selamat.

Malah katanya, waktu petang dan malam pula guru warden perlu memastikan pelajar mengikuti jadual yang ditetapkan.

“Kadang-kadang waktu tengah malam ada murid yang sakit terpaksa bangun dan menghantar ke hospital,” katanya.

Namun tugas guru warden juga mengajar dengan jumlah waktu yang sama dengan guru-guru lain, bahkan terpaksa juga mengajar kelas peperiksaan.

Katanya, jawatan guru warden sepatutnya mempunyai jumlah waktu mengajar yang dikurangkan setaraf dengan Guru Media yang hanya mengajar lapan waktu seminggu, supaya dapat memberi tumpuan kepada pembangunan sahsiah pelajar asrama.

“Saya sangat menghormati dengan guru warden komitmen bekerja lebih daripada 14 jam sehari dan kesungguhan mereka menjaga dan bangunkan anak bangsa memang hebat.

“Namun sayangnya mereka dibayar elaun RM240 sahaja sebulan, satu bayaran yang sangat rendah seperti langit dengan bumi jika dibandingkan dengan elaun keraian Kabinet menteri, dan kadar tersebut sudah lama tidak disemak.

‘Tetapi guru warden pula tepaksa dipotong elaun perumahan kerana tinggal di kuarters kerajaan dan ada masanya terpaksa uruskan kes-kes buli di asrama,” katanya.

Malah, nisbah 1:50 guru warden dengan murid juga perlu dikecilkan kepada 1:30 bagi memastikan keselamatan anak-anak jagaan selamat sepanjang berada di sekolah.

Pada masa sama, beliau turut menyarankan jawatan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) atau kerani asrama diganti dengan jawatan warden sepenuh masa yang membolehkan mereka bertugas secara syif untuk 24 jam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button