Berita Utama

Hishammuddin lulus permohonan UKSB laksana sistem visa selama 7 tahun: Saksi

Kelulusan permohonan UKSB dibuat pada 1 Oktober 2011

SHAH ALAM, 9 Syawal 1443H, Selasa – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meluluskan permohonan syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) bagi melaksana perkhidmatan Sistem Pengurusan Permohonan Visa (SPPV) ‘One Stop Center’ di China untuk tempoh konsesi selama tujuh tahun.

Bekas Penolong Setiausaha di Bahagian Hal Ehwal Imigresen, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Djuliana Jamaludin berkata Hishammuddin telah meluluskan permohonan UKSB pada 1 Oktober 2011.

“Saya telah diarahkan oleh bahagian saya (Hal Ehwal Imigresen) untuk menyediakan Kertas Pertimbangan bagi mendapatkan kelulusan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin berkenaan dengan permohonan UKSB untuk melaksanakan SPPV 1 Stop Center di Republik Rakyat China (China) secara ‘Private Finance Initiative (PFI)’ untuk tempoh tujuh tahun.

“Kertas pertimbangan yang bertarikh 28 September 2011 telah mengesyorkan beberapa cadangan tindakan kerajaan,” katanya ketika membacakan penyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Zander Lim Wai Keong.

Djuliana berkata pada sekitar 2010, UKSB telah menghantar satu cadangan kepada KDN untuk menawar perkhidmatan itu di China.

“UKSB membuat cadangan tersebut melalui surat kepada menteri KDN ketika itu (iaitu) Hishamuddin bertarikh 4 Mac 2010, yang antara lainnya, menyebut ‘Visa Facilitation Services’ boleh membantu pejabat perwakilan Malaysia di China untuk menguruskan permohonan visa secara menyeluruh dan selamat tanpa mempengaruhi sebarang proses kelulusan.

“Dalam surat itu juga, UKSB mencadangkan perkhidmatan yang disediakan tidak melibatkan sebarang kos kepada Kerajaaan Malaysia kerana semua infastruktur perkhidmatan akan disediakan sepenuhnya oleh UKSB,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-11 itu berkata di bahagian atas surat tersebut, terdapat catatan minit Hishammuddin iaitu ‘Datuk Seri KSU/ Datuk Alias sila teliti seperti yang dilakukan untuk India – yang ini untuk China’.

“Berikutan minit YB Menteri itu (Hishammuddin), cadangan UKSB itu telah diteliti dan dikaji oleh Jabatan Imigresen terlebih dahulu sebelum dikemukakan kepada KDN untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sebelum ini, saksi pendakwaan ketiga Siti Jalilah Abd Manap iaitu bekas Timbalan Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Imigresen, KDN memberitahu mahkamah bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melanjutkan kontrak UKSB bagi projek Visa Luar Negara (VLN) walaupun kontrak syarikat itu masih berbaki tiga tahun lagi.

Ahmad Zahid menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri antara 2013 dan 2018.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB, untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung esok. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button