Berita Utama

PPV pandu lalu OKU akan tambah kapasiti penerima vaksin kepada 40,000

Pamer komitmen kerajaan terhadap OKU terjejas akibat COVID-19

KUALA LUMPUR, 7 Zulkaedah 1442H, Jumaat – Empat puluh ribu ahli komuniti orang kurang upaya (OKU) di negara ini akan divaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu kendalian OKU Sentral di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dalam tempoh lima bulan akan datang.

Pengerusi OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba meminta agar kapasiti di PPV pandu lalu untuk OKU ditambah semasa beliau meninjau fasiliti pusat itu di Ara Damansara, Petaling Jaya hari ini.

“Kami dengan sukacita ingin memaklumkan bahawa menteri berkenaan berkata beliau gembira dengan keupayaan kami mematuhi SOP (prosedur operasi standard) dan melaksanakan program imunisasi untuk OKU.

“Kami juga dengan sukacita ingin memaklumkan bahawa menteri berkenaan juga telah meminta agar kami meningkatkan kapasiti di fasiliti vaksinasi pandu lalu pertama negara untuk OKU dan pada minggu-minggu akan datang, kami akan berusaha meningkatkan kapasiti kami kepada 400 orang sehari,” menurutnya dalam kenyataan.

Beliau berkata peningkatan pengagihan vaksinasi bagi PPV pandu lalu kendalian OKU Sentral menunjukkan komitmen berterusan kerajaan terhadap komuniti OKU terutama mereka yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

PPV Pandu Lalu kendalian OKU Sentral memulakan program vaksinasinya kelmarin dengan 80 suntikan sehari sehingga hari ini sebelum meningkatkan kapasiti kepada 160 hingga 200 suntikan sehari mulai 21 Jun dan seterusnya bagi tempoh lima bulan akan datang.

Pelaksanaan vaksinasi di pusat itu ketika ini adalah berdasarkan pendaftaran yang diterima oleh OKU Sentral, yang menyaksikan sejumlah 13,500 OKU akan menerima janji temu masing-masing menerusi aplikasi MySejahtera.

Pendaftaran melalui Google Form OKU Sentral bagi vaksinasi kali ini sudah ditutup dan akan dibuka semula dalam masa terdekat bagi mencapai sasaran baharu untuk memberikan 40,000 suntikan dalam tempoh lima bulan akan datang. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button