Berita Utama

KKM pantau situasi hepatitis akut tak diketahui penyebabnya

Protokol rujukan, pengurusan kes juga sedang dibangunkan

BANGI, 9 Syawal 1443H, Selasa – Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus menjalankan pemantauan situasi kejadian kes ‘Hepatitis akut yang tidak diketahui penyebabnya’ dalam kalangan kanak-kanak.

KKM dalam kenyataan di Facebook berkata, sehingga 21 April lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menerima 169 kes ‘Hepatitis akut yang tidak diketahui penyebabnya’ dalam kalangan kanak-kanak berumur antara sebulan hingga 18 tahun.

Sehubungan itu, kementerian telah mempertingkatkan survelan bagi hepatitis akut, selain terus memantau situasi kejadian dalam kalangan kanak-kanak.

“Protokol rujukan dan pengurusan kes ‘Hepatitis akut yang tidak diketahui penyebabnya’ juga sedang dibangunkan.

“Perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” kata kementerian.

Serentak itu, KKM menasihatkan ibu bapa atau penjaga kanak-kanak yang mengalami gejala berkaitan hepatitis akut untuk segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.

Antara gejala-gejala hepatitis akut adalah jaundis, kelesuan, loya, hilang selera makan dan air kencing berwarna gelap.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button