Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Negara minoriti Islam perlu contohi Malaysia: Idris

‘Negara majoriti penduduk beragama Islam lazimnya boleh bertoleransi’

ABU DHABI, 9 Syawal 1443H, Selasa –   Amalan toleransi dan muhibah yang telah lama dilaksanakan Malaysia diharap menjadi panduan kepada dunia Islam ketika ini untuk menyatupadukan ummah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berkata sudah tiba masanya negara yang penduduknya minoriti beragama Islam mengikuti Malaysia untuk hidup aman damai bersama kaum muhibah dengan berpaksikan Islam sebagai agama rasmi.

Idris berkata, negara yang majoriti penduduk beragama Islam lazimnya boleh bertoleransi dengan kaum lain namun sebaliknya pula berlaku jika penduduk Islam adalah minoriti dalam sesebuah negara.

”Asas-asas yang telah kita bina di Malaysia, kita harap negara lain juga dapat ikut termasuklah dalam kalangan negara yang majoritinya penduduknya terdiri daripada bukan Islam supaya mereka juga meniru bagaimana sikap toleransi sikap yang harmoni yang wujud.

“Malahan apabila kita meletakkan konsep Keluarga Malaysia, keluarga sejahtera yang menggambarkan itulah realiti yang kita ada di negara kita ketika ini,” katanya selepas berakhirnya persidangan Majlis Komuniti Islam Sedunia berlangsung dari 8 hingga 9 Mei di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu.

Idris berkata, konsep yang telah lama diamalkan Malaysia iaitu melaksana dan menterjemahkan fiqh al-Ta’ayush iaitu meletakkan tiga prinsip utama dalam membina hubungan persaudaraan yang baik dengan seluruh komponen masyarakat.

Beliau juga melihat persidangan julung kali diadakan itu berjaya dengan menghimpunkan idea menerusi sesi perbincangan dari 105 negara melibatkan 500 perwakilan yang menyertainya dalam mendepani cabaran semasa menyatukan ummah.

Katanya Emiriah Arab Bersatu juga menyatakan minat untuk menjadikan Malaysia sebagai hos untuk menganjurkan edisi berikutnya namun, perkara itu masih di peringkat awal perbincangan.

”Setakat hari ini, kita akan bincang dulu kerana benda (perkara) tu membabitkan soal polisi dan sebagainya mungkin perkara-perkara itu boleh dibawa …kita boleh bincang dengan negara penganjur ini untuk kemungkinan mereka nak adakan kerjasama dan sebagainya.

“Insya-Allah perkara begitu mungkin kita boleh bawa kepada peringkat kerajaan sendiri,” katanya di sini semalam.

Sempena penutup persidangan itu, lima resolusi dicapai antaranya adalah kepentingan menggunakan media tradisional dan baharu untuk membentuk kesedaran kolektif umat Islam dalam semua komuniti dan semua bahasa, membolehkan mereka memahami semua topik utama yang membimbangkan minda umat Islam pada abad ke-21.

Bertemakan Perpaduan Islam: Konsep, Peluang dan Cabaran, persidangan berlangsung dari 8 hingga 9 Mei itu menghimpunkan tokoh islam sedunia dirasmikan oleh Menteri Toleransi dan Kebersamaan UAE, Sheikh Nahyan bin Mubarak Al Nahyan. – Bernama

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button