Berita Utama

Pendeposit TH perlu buat janji temu sebelum berurusan

Boleh pilih masa dan tarikh ikut kesesuaian pendeposit

BANGI, 9 Syawal 1443H, Selasa – Pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) yang mahu berurusan di kaunter perlu membuat janji temu terlebih dahulu di semua 123 pejabat cawangan seluruh negara.

Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab berkata, pembaharuan operasi berkenaan bermula hari ini dan melibatkan urusan tuntutan pusaka, permohonan hibah amanah, kemas kini maklumat peribadi dan pembukaan akaun TH.

“Dengan adanya kemudahan janji temu tersebut diyakini memberi kemudahan kepada pendeposit untuk berurusan di mana-mana kaunter dengan lebih efektif.

“Melalui janji temu tersebut pendeposit juga boleh memilih tarikh dan masa mengikut kesesuaian dan tidak perlu menunggu dalam masa yang agak panjang.

“Pelaksanaan kemudahan ini juga membolehkan TH mengatur kehadiran pendeposit secara berkala dan sekali gus dapat mengelak kesesakan dan ketidakselesaan pendeposit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pendeposit yang ingin berurusan boleh membuat janji temu dengan melayari laman web TH di www.tabunghaji.gov.my dan klik di menu pilihan urusan janji temu yang beroperasi seawal 8.45 pagi hingga 3.45 petang.

Dalam masa sama katanya, pendeposit yang hadir perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka serta mengamalkan penjarakan fizikal ketika berada di ruangan pejabat.

“Jumlah pendeposit dalam ruangan pejabat juga akan dihadkan bagi memastikan SOP terpelihara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button