Berita Utama

Syor jawatan warden asrama bukan dalam kalangan guru: iGuru

KPM digesa lihat rungutan beban tugas, elaun guru warden

BANGI, 9 Syawal 1443H, Selasa – Kementerian Pendidikan (KPM) digesa mengambil perhatian terhadap rungutan dan keluhan beban tugas yang dipikul membabitkan guru warden, termasuk mengkaji semula kadar elaun yang disifatkan tidak setimpal.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, guru warden bukan hanya tertakluk dengan tugas Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPC), malah terpaksa mengurus hal ehwal kebajikan murid di asrama.

Apatah lagi, guru warden terpaksa bertugas melebihi 18 jam berbanding guru biasa, sedangkan kadar elaun yang diberikan sebanyak RM240 pula tidak setimpal, katanya.

“Namun satu hakikat yang perit menjadi warden bagi guru yang mengajar subjek peperiksaan dan diberi tugasan luar yang di luar kemampuan mereka akan menjadi satu tekanan dan bebanan.

“Tugas warden sekolah sangat berat dan perlu banyak kesabaran. Tugasan yang diarahkan kepada mereka tanpa mengira masa sehingga keluarga sendiri pun terabai.

“Warden mudah terdedah dengan pelbagai risiko antaranya kemungkinan disaman oleh ibu bapa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Melihat beban tugas warden sebagai mencabar, Mohd Azizee mencadangkan beberapa solusi kepada pihak kementerian untuk mempertimbangkan bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Beliau mencadangkan supaya KPM mewujudkan perjawatan guru warden setaraf guru pusat sumber dengan tugas masa mengajar mereka dikecilkan serta berfokus kepada pengurusan murid di asrama.

“Mengkaji dan menaikkan kadar elaun guru warden dengan mengambil kira kos sara hidup yang meningkat dan risiko yang ditanggung. Ini adalah langkah jangka pendek dan segera.

“Mengecilkan nisbah bilangan warden dengan nisbah murid. Nisbah sedia ada ialah satu guru warden dengan nisbah 50 orang murid,” katanya.

Menurut beliau, jumlah itu tidak mampu diurus dengan baik jika ingin menjamin kualiti disiplin murid kerana kemungkinan rakan warden lain tidak mampu menanggung beban akibat bertugas luar.

Justeru, beliau menyarankan supaya nisbah itu diubah kepada realistik dan mengikut keperluan iaitu seorang warden dengan 35 hingga 40 murid.

Pada masa sama, beliau mencadangkan jawatan warden sepenuhnya yang bukan dalam kalangan guru diwujudkan.

“Perjawatan mereka adalah bertaraf perjawatan yang sedia ada seperti guru kaunselor dan sebagainya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button