Berita Utama

Tahanan mati dalam lokap Seri Alam disebabkan COVID-19

'Post mortem' mendapati tiada sebarang kecederaan dikesan

BANGI, 9 Syawal 1443H, Selasa – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan kes kematian dalam lokap Balai Polis Seri Alam, Johor pada 8 Mei lalu disebabkan COVID-19 Pneumonia iaitu radang paru-paru.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, ‘post mortem’ yang dijalankan di Hospital Sultan Ismail pada 9 Mei mendapati tiada sebarang kecederaan dikesan.

Katanya, ujian pengesanan COVID-19 telah dibuat ke atas si mati dengan keputusan positif wabak berkenaan.

“Punca kematian adalah disebabkan COVID-19 Pneumonia (radang pada paru-paru).¬†

“Kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Bukit Aman akan meneruskan siasatan dari pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner.

Sebelum ini, Azri dalam kenyataannya memaklumkan lelaki tempatan berusia 48 tahun yang ditahan atas kesalahan dadah ditemukan lemah dalam lokap berkenaan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pegawai kesihatan Klinik Kesihatan Masai mengesahkan tahanan itu meninggal dunia pada 9.35 pagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button