Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Hanya individu dalam senarai khas boleh guna khidmat polis pengiring

Perlu dapat kebenaran Ketua Polis Negara terlebih dahulu: Hamzah

KUALA LUMPUR, 10 Syawal 1443H, Rabu – Hanya individu dalam senarai khas dibenarkan menggunakan khidmat polis pengiring dan perlu mendapat kebenaraan Ketua Polis Negara kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Sebenarnya kami tidak membenarkan sesiapa yang tiada dalam senarai itu (guna khidmat polis pengiring) mendapat kemudahan sedemikian. Jadi kalau ada kesalahan yang dilakukan oleh anggota, kami akan ambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai isu anak Ahli Parlimen  didakwa menggunakan khidmat polis pengiring selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri PDRM Tahun 2022 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, hari ini.

Hamzah berkata, polis telah menjalankan siasatan dalaman secara terperinci dan hasil siasatan akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

“Orang yang menerima (khidmat polis iring) ini kalau ada melakukan mana-mana kesalahan kerana langgar apa sahaja undang-undang, kami akan ambil tindakan. Kami akan lakukan siasatan sebelum mendapatkan kepastian apa yang berlaku sebenarnya,” katanya.

Mengulas sama ada isu khidmat polis iring ini mempunyai prosedur operasi standard (SOP) baharu, beliau berkata tiada sebarang SOP baharu dan perkara itu telah dijawab dalam Parlimen dan ia hanyalah masalah individu melakukan kesalahan menggunakan sesuatu (perkhidmatan) yang tidak sepatutnya digunakan.

Pada 8 Mei lepas, polis kontinjen Pulau Pinang membuka kertas siasatan tatatertib terhadap dua anggota polis trafik berhubung kejadian mengiringi kenderaan awam.

Menerusi klip video berkenaan, kedua-dua anggota polis itu sedang mengiringi kenderaan yang didakwa dipandu oleh seorang anak Ahli Parlimen.

Paparan video berkenaan mendapat kecaman masyarakat yang tidak berpuas hati dengan individu terlibat menggunakan khidmat anggota polis trafik bagi meredah kesesakan jalan raya di Pulau Pinang.

Sementara itu, mengulas mengenai isu tular di media sosial mengenai Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman yang didakwa akan dibubarkan, beliau enggan mengulas isu berkenaan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button