Berita Utama

Himpunan tuntut kerajaan jaga kebajikan veteran ATM 6 Jun

Mohon MAT selaras pencen veteran yang bersara sebelum 2004 dan 2013

BANGI, 10 Syawal 1443H, Rabu – Kira-kira 5,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merancang untuk mengadakan perhimpunan aman secara besar-besaran pada 6 Jun depan di semua negeri.

Himpunan itu bagi menyuarakan ketidakpuasan kepada kerajaan yang didakwa tidak menjaga kebajikan tentera berpencen, tidak berpencen dan diberhentikan.

Pengerusi Perhimpunan Aman Veteran ATM, Datuk Abdul Rahman Husain berkata, tindakan berhimpun itu telah mendapat persetujuan daripada hampir 9,000 veteran seluruh negara dan jumlah berkenaan bertambah saban hari.

“Usaha menuntut kebajikan mereka sudah dibuat sejak lapan tahun lalu dan kini akan diteruskan secara konsisten dalam perhimpunan aman tersebut bagi mengetengahkan nasib-nasib veteran ke Mahkamah Timbang Tara.

“Dan selepas hampir lapan tahun berlalu wakil persatuan ada berbincang dengan kerajaan, namun tiada keputusan, maka kami di peringkat bawahan mahu menunjukkan yang kami mampu bersatu dan membawa kes ke mahkamah.

“Kami akan terus perjuangkan hak sehingga suara kami didengar oleh kerajaan. Kami tidak minta lebih, kami mahu kerajaan berikan hak kami seperti yang termaktub dalam peruntukan undang-undang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Rahman berkata, sebanyak empat perkara yang diperjuangkan sejak 2014 antaranya adalah memohon Majlis Angkatan Tentera (MAT) melaksanakan penyelarasan pencen bagi veteran yang bersara sebelum 2004 dan 2013.

“Mengikut kuasa yang ada pada MAT mengikut Perkara 137 Perlembagaan Persekutuan, Seksyen 187 Akta Angkatan Tentera dan peraturan-peraturan pencen serta faedah-faedah lain di bawahnya.

“Selain itu memohon MAT memberi pertimbangan supaya anggota tentera diberi hak yang sama seperti penjawat awam lain iaitu diberi pencen setelah berkhidmat sekurang-kurangnya 10 tahun perkhidmatan,” katanya.

Selain itu Abdul Rahman berkata, pihaknya turut memohon MAT menubuhkan satu Lembaga Pengampunan dengan meringankan hukuman segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan pegawai atasan bagi mereka yang layak.

Malah, MAT juga digesa untuk mengkaji semula veteran yang cedera ketika perang, semasa bertugas atau cedera disebabkan tugas berat semasa perkhidmatan.

“Kami mahu menuntut supaya diberi rawatan di Pusat Hospitaliti Tentera Udara (PHU) dan ‘Layan Sentiasa’ seperti yang diberi oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan insurans selain insurans kelompok yang dibayar sendiri oleh anggota tentera,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button