Berita UtamaDunia

Keadaan di Gaza masih teruk meski setahun selepas serangan Israel

Proses pembinaan semula perlahan, negara penderma gagal laksana janji

GAZA, 10 Syawal 1443H, Rabu – Setahun yang lalu, rejim negara haram Israel melancarkan serangan ganas selama 11 hari di Semenanjung Gaza yang meninggalkan kesan kemusnahan besar-besaran di seluruh wilayah Palestin.

Setahun selepas serangan, rakyat Palestin masih belum pulih daripada kesan perang, memburukkan lagi keadaan ekonomi yang sudah kritikal bagi dua juta penduduk di wilayah itu.

Kira-kira 250 rakyat Palestin terbunuh dan beribu-ribu cedera dalam ratusan serangan udara Israel di Gaza. 

Menurut pihak berkuasa tempatan di Gaza, serangan Israel telah menyebabkan kerugian harta benda sekitar AS$479 juta.

Ia dianggap keganasan yang paling teruk dalam beberapa tahun, terhenti pada 21 Mei 2021 di bawah gencatan senjata yang diperantarai Mesir.

Keadaan bencana

Pejabat Penerangan Palestin menganggarkan lebih 120,000 orang telah dipindahkan dari rumah mereka akibat serangan Israel.

Sekurang-kurangnya 300 bangunan kediaman turut musnah dalam serangan Israel, selain 2,075 unit rumah rosak sepenuhnya dan 15,000 yang lain rosak sebahagian.

Sekitar 24 pusat kesihatan, 46 sekolah, 490 kemudahan pertanian dan 300 kemudahan ekonomi turut rosak dalam serangan itu, menurut sumber sama.

Sebanyak 42 bangunan media musnah, terutama pejabat saluran berita Qatar Al Jazeera dan agensi berita Amerika, Associated Press.

Penganalisis politik Palestin, Mustafa Ibrahim berkata, penduduk Gaza masih hidup dalam keadaan ekonomi yang sangat sukar, setahun selepas perang Israel.

“Kesan pencerobohan Israel masih jelas, di tambah pula proses pembinaan semula yang perlahan di Gaza,” katanya kepada Anadolu Agency.

Penganalisis itu menyalahkan rentak pembinaan semula yang perlahan ekoran ‘kegagalan negara penderma untuk memenuhi janji mereka.’

“Peranan negara Arab dalam proses pembinaan semula Gaza juga telah berkurangan,” katanya.

Hukuman kolektif

Penganalisis politik itu berkata, pengepungan Israel selama bertahun-tahun ke atas Gaza dan sekatan yang dikenakan oleh Tel Aviv menjadi punca proses pembinaan semula yang perlahan di Gaza.

“Perpecahan dalam Palestin yang berterusan juga memberi kesan negatif khususnya di Gaza.

“Sebarang kelewatan dalam proses pembinaan semula dianggap sebagai hukuman kolektif terhadap orang awam Gaza,” katanya memberi amaran.

Ibrahim menyatakan bahawa kenaikan harga makanan dan komoditi asas global akibat perang Ukraine menambahkan lagi tekanan rakyat Palestin yang miskin di Gaza.

“Krisis ini telah menjejaskan semua negara, termasuk negara kaya,” katanya sambil memberi amaran tentang keadaan ‘malapetaka’ di Gaza jika krisis kemanusiaan semasa berterusan.

Menurut Biro Perangkaan Pusat Palestin, kadar pengangguran Gaza mencecah 47 peratus.

“Kesinambungan krisis kemanusiaan, di samping kemiskinan dan pengangguran, boleh mendorong keadaan di Gaza ‘meletup’,” kata Ibrahim. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button