Tarbiyah

Neraca kewalian yang hakiki dengan pertimbangan syarak

Agama tak pernah asingkan antara syariat, akidah dan tasawwuf dalam beramal

TULAR pula isu siapa wali Allah dan apakah pula petandanya serta tidak pula menghukum seseorang berdasarkan perbuatan zahirnya.

Saya cuma ingin kongsi beberapa isi penting :

1. Syariat adalah pemberat utama dalam menilai status manusia. Hanya dengannya diketahui status sebenar seseorang. Al-Imam Al-Izz Ibnu Abd Salam RHM (meninggal 660H) menyebut :

“Syarak adalah penimbang yang menimbang (nilai) manusia, hanya dengannyalah diketahui nilai untung rugi yang sebenar.

Barangsiapa yang berat pertimbangan syarak padanya, maka dia adalah daripada kalangan para wali Allah. Kadar berat itu pula berbeza-beza mengikut tahapan masing-masing.

Barangsiapa yang ringan pertimbangan syarak padanya, maka mereka adalah golongan yang rugi. Kadar ringannya timbangan itu pula berbeza mengikut tahapan masing-masing” – Qawaid Al-Ahkam (2/229-230)

2. Agama tidak pernah mengasingkan antara syariat, akidah dan tasawwuf dalam beramal. Ia hanya diasingkan pada sudut topik perbincangan sahaja. Akidah berbicara mengenai keyakinan, syariat berbicara mengenai perbuatan luaran, dan tasawwuf berkenaan akhlak dan perjalanan hati (perbuatan dalaman).

Adapun dalam beramal, kesemuanya adalah kesepaduan dan setiap satu menjadi rukun kepada yang lain bagi membentuk ‘insan kamil’ dengan keberagamaan yang sempurna.

Hilangnya salah satu, akan mencari kesempurnaan beragama pada manusia hingga dikhuatiri boleh sampai ke tahap digolongkan dalam golongan ahli bid’ah, zindiq, ajaran sesat, atau pelaku maksiat.

3. Dengan definisi wali Allah seperti di atas, tidak timbul isu siapa wali atau siapa tidak, yang timbul adalah siapa yang berpegang dengan syariat itulah yang patut diikuti, yang menolaknya pula yang wajar ditolak.

Atas sebab itu juga, ‘karamah’ (perkara yang berlaku berlawanan dengan adat) yang sekiranya dizahirkan oleh Allah SWT kepada aulia-Nya, ia tidaklah menjadi kegilaan orang atau punca kepercayaan kepada seseorang.

Ini kerana kayu ukur dan pertimbangan dalam iqtida’ (mengikut dan meneladani) seseorang adalah pada ‘istiqamah’ iaitu tetap berada di atas jalan lurus, jalan syariat, dan jalan Nabi SAW, bukanlah pada ‘karamah’ yang dizahirkan.

Ibnu Atha’illah RHM menyebut dalam Al-Hikam : “Boleh jadi seseorang itu dikurniakan karamah, dalam masa yang sama istiqamahnya belum lagi sempurna”.

Atas sebab itu ulamak menyebut bahawa seseorang mukmin yang benar imannya, akan meminta pada Allah SWT untuk mendapat istiqamah, bukan pula meminta-minta karamah (seperti berjalan atas air, terbang di langit dan seumpamanya).

Moga kita dipandu Allah SWT dalam meniti jalan-jalan istiqamah hingga bertemu-Nya.

Ustaz Syamil Esa

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button