Berita Utama

Debat: Najib terus pertahan projek berskala mega demi kek ekonomi

Anwar tanya siapa dapat pastikan kek ekonomi dibahagi secara adil

BANGI, 11 Syawal 1443H, Khamis – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terus mempertahankan projek berskala mega yang dilaksanakan di bawah kerajaan pimpinannya.

Beliau mendakwa, melaluinya, ia akan menjadikan kek ekonomi negara lebih besar dan boleh diagih-agihkan demi kepentingan rakyat.

Antara contoh projek berskala mega yang wujud di bawah Najib antaranya Projek Lebuhraya Pan Borneo dan Projek Transit Aliran Massa (MRT).

“Apabila kek sudah lagi besar, kita boleh potong bagi kepada rakyat dan mereka untung.

“…ini juga termasuk kita mempunyai hasil yang besar daripada GST (cukai barang dan perkhidmatan).

“Kalau hari ini ada GST, kita ada hasil tambahan RM30 bilion untuk beri subsidi kepada nelayan, petani dan pekebun kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Debat Perdana bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disiarkan secara langsung dari Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), malam ini.

Dalam pada itu, Anwar menyindir analogi kek besar Najib dengan menyatakan siapa dapat memastikan ianya dibahagikan secara adil.

Dakwanya, sekarang ini rakyat melihat kek ekonomi negara dikuasai oleh elitis khususnya dalam kalangan golongan politik.

“Kalau kita ada kek, jangan kek itu kita makan seorang, kek kalau kita besarkan siapa nak tentukan pembahagian itu adil.

“Sekarang orang tengok kek, elit politik di atas yang kaya, yang makan banyak.

“Satu untuk kamu, satu untuk aku, yang untuk kamu itu sikit yang untuk aku banyak,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button