Pendapat

Adakah semua kenaikan salah kerajaan?

Kerajaan banyak salahnya tapi tak semua masalah ekonomi boleh dihumban kepada mereka!

1. ADA banyak kenaikan yang berlaku sejak kebelakangan ini. Kenaikan Overnight Policy Rate (OPR) dari 1.75% kepada 2.0%, kenaikan harga ayam sebanyak 30sen dan kenaikan harga petrol RON97 dari RM3.94 seliter kepada RM4.31 seliter (sebelum 16 Mac harganya hanya RM3.45 seliter).

2. Semua kenaikan ini menyebabkan rakyat ‘naik darah’, mencaci maki dan pihak yang paling mudah untuk dipersalahkan ialah kerajaan. Benarkah kerajaan yang 100% bersalah dalam kesemua hal ini?

3. Di sinilah pentingnya kita sebagai rakyat marhein untuk memahami konsep asas ekonomi, kewangan dan dunia perniagaan supaya setiap isu negara dan dunia yang berlaku dapat ditanggapi dengan ‘world view’ yang betul, setiap kritikan yang diberikan tepat pada sasarannya dan membantu secara konstruktif bagi mencari solusi yang terbaik.

4. Kenaikan OPR adalah sesuatu yang telah lama dijangka dan ‘natural’ untuk berlaku kerana 1.75% merupakan paras terendah dalam sejarah negara sejak awal 2020, bertujuan untuk menampan kesan pandemik COVID-19 yang telah memperlahankan perkembangan ekonomi negara secara amat drastik.

5. Kini setelah ekonomi kian pulih, tindakan Bank Negara meningkatkan OPR kepada 2.0% adalah munasabah, malah dijangka kenaikan akan terus berlaku secara berperingkat sehingga mencecah tahap 2.75% seperti sebelum negara dilanda pandemik.

6. OPR yang terlalu rendah akan menyebabkan inflasi juga rendah. Ia bagus untuk rakyat tapi akan memberikan tekanan besar kepada pihak bank serta pulangan yang rendah terhadap simpanan dan fixed deposit rakyat dalam masa yang sama.

7. Manakala kenaikan harga ayam pula disebabkan banyak faktor terutama kekurangan bekalan dedak yang berlaku disebabkan sumber jagung dan soya import juga mengalami gangguan bekalan. Benar, kerajaan memainkan peranan besar dalam hal ini terutama kelemahan polisi berkaitan keselamatan makanan (food security) yang tidak berkesudahan sekian lama.

8. Jangankan ayam, beras yang merupakan makanan ruji rakyat Malaysia juga turut berhadapan masalah yang sama sejak dahulu lagi. Sehingga hari ini lebih kurang 25% peratus bekalan beras negara masih diimport dari luar terutama dari Thailand.

9. Secara keseluruhan, Malaysia membelanjakan RM55.5 bilion import makanan pada tahun 2020. Antara makanan yang banyak diimport ialah daging kambing, daging lembu, kelapa dan mangga. Dalam hal ini kerajaan perlu merangka polisi yang lebih berkesan bagi menurunkan Import Dependency Ratio (IDR) dan seterusnya mencapai 100% Self Sufficiency Ratio (SSR) bagi makanan utama rakyat Malaysia.

10. Selain itu, kenaikan harga petrol RON97 pula berlaku akibat kenaikan harga minyak mentah dunia, antaranya disebabkan konflik peperangan yang sedang berlaku antara Rusia dan Ukraine. Dalam hal ini rakyat seharusnya bersyukur kerana harga RON95 dan diesel yang telah dihadkan maksimum di bawah Automatic Pricing Mechanism (APM) oleh kerajaan tidak terjejas walaupun harga sebenar jualan kedua-dua produk ini lebih tinggi dari RM2.05 seliter (RON95) dan RM2.15 (Diesel).

11. Saya berpandangan golongan yang menggunakan petrol RON97 merupakan golongan mampu yang pastinya tidak terkesan teruk dengan kenaikan harga tersebut. Kita faham majoriti rakyat Malaysia menggunakan petrol RON95, manakala banyak kenderaan komersil bagi tujuan pengangkutan sumber ekonomi negara menggunakan diesel sebagai bahan api.

12. Kerajaan tidak sempurna. Banyak salahnya. Tapi tak semua masalah ekonomi yang berlaku boleh dihumbankan kepada mereka!

Ir Ts Lukman Al Hakim
Setiausaha Agung BERJASA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button