Berita Utama

Agenda peribadi punca MN huru-hara: PAS

PAS harap pimpinan UMNO fikir semula kepentingan ummah, negara

BANGI, 11 Syawal 1443H, Khamis – Sehingga ke hari ini, masih belum ada ‘khabar gembira’ mengenai gagasan kerjasama penyatuan ummah antara PAS dan UMNO, Muafakat Nasional (MN) sebaliknya ia kelihatan semakin keruh.

Terbaharu, PAS mendedahkan agenda peribadi yang diperjuangkan oleh sesetengah pemimpin UMNO menjadi punca kerjasama antara dua parti itu menerusi MN menjadi huru-hara.

Justeru, bagi membolehkan kerjasama menerusi MN kembali ke landasan asal sebagaimana sebelum ini, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, UMNO perlu segera menyelesaikan masalah itu.

“Kita bukan menunggu kata putus UMNO dalam membuat keputusan (MN), tetapi PAS berharap pimpinan UMNO dapat berfikir semula untuk kepentingan ummah dan negara melalui kerjasama MN,” katanya seperti dilapor Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, PAS tidak pernah mengeluarkan sebarang keputusan untuk berpisah dengan UMNO dalam MN, sebaliknya yang membuat keputusan untuk berpisah dengan MN ialah UMNO Kelantan.

Selain itu katanya, UMNO Terengganu antara kumpulan awal yang mahu melawan PAS di negeri berkenaan.

“Mursyidul Am (Datuk Hashim Jasin) sudah membuat kenyataan bahawa PAS dengan MN masih kekal.

“Sekarang ini masalah dalam UMNO (kenyataan berkait MN yang dilihat sering bercanggah) bukan daripada PAS,” katanya.

Menurutnya lagi, PAS tidak pernah menutup pintu rundingan dengan mana-mana pihak asalkan meletakkan Islam dan Melayu sebagai tunjang utama.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button