Berita Utama

Doktor pakar turut didakwa terlibat kes buli doktor pelatih

Kesemua lima doktor berkenaan masih bekerja seperti biasa

PUTRAJAYA, 11 Syawal 1443H, Khamis – Doktor pakar dilaporkan berada dalam senarai nama individu yang didakwa sebagai pembuli doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kesemua lima doktor yang didakwa terbabit dalam kes berkenaan masih bekerja seperti biasa dan tidak digantung tugas.

“Kita tidak boleh memindah keluar atau menggantung tugas doktor berkenaan, ada nama yang dihantar itu turut membabitkan peringkat pakar.

“Bukan senang kita nak pindah keluar doktor pakar. Jadi buat masa ini semua masih bertugas seperti biasa dan siasatan masih berjalan,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Jururawat Sedunia, hari ini.

Pada 17 April lalu, seorang doktor pelatih lelaki berusia 25 tahun ditemukan maut, dipercayai terjatuh dari unit kediamannya di bangunan berhampiran di Jalan Datuk Keramat, Georgetown.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang, Dr Maarof Sudin mengesahkan mangsa adalah Pegawai Perubatan Siswazah yang melaporkan diri pada 4 April lalu di HPP

Semalam, dilaporkan bahawa nama lima doktor di HPP yang didakwa sebagai pembuli telah diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

Senarai nama itu dikemukakan Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang, Dr Norlela Ariffin.

Beliau menghantar nama lima doktor itu untuk diperiksa oleh Menteri Kesihatan. 

Dr Norlela bagaimanapun menjelaskan, lima doktor itu tidak mempunyai kaitan dengan kematian seorang doktor pelatih yang bertugas di HPP, baru-baru ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button