Berita Utama

Kelantan banyak sumber air, cuma tiada tempat simpan: Mohd Amar

Tegaskan masalah air di Kelantan dapat selesai dengan peruntukan RM7 bilion

KOTA BHARU, 11 Syawal 1443H, Khamis – Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sumber air bawah tanah dan atas permukaan bumi terlalu banyak di Kelantan namun tempat untuk menyimpannya tiada.

Jelasnya, sumber air yang banyak sehingga melebihi keperluan sedia ada itu tiada tempat simpanan air bersesuaian.

Ia membuatkan sumber air yang ada di bumi negeri ini tidak dapat dimanfaatkan, katanya.

“Kita di Kelantan, air ini melebihi keperluan. Dalam tanah, dalam sungai, air hujan semua tu melebihi, cuma kita tak boleh nak simpan, tak ada tempat nak simpan. 

“Air bawah tanah kita banyak, lebih daripada keperluan, tapi tak cukup loji. Bila buat loji paip pula pecah, jadi kita guna air bawah tanah lebih senang daripada guna air sungai. Masalah air sungai ni berkeladak.

“Air bawah tanah kita pula banyak kandungan besi dan ini diakui oleh jurutera, sebab itu air nampak keruh.

“Bukan air kotor, tapi air bersih dan selamat untuk diminum. Bila masuk klorin, dia bertindak balas menyebabkannya menjadi keruh, ini yang terpaksa kita hadapi.

“Kalau kita buat tab (kolam takungan), kita boleh simpan air dan dari kolam atau tab dan kita boleh salur ke kawasan yang perlu,” katanya seperti dilapor portal tempatan.

Beliau berkata, pembinaan kolam takungan yang terletak di Machang sudah dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan cadangannya dikemukakan dua tahun lalu dan telah mendapat kelulusan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Dalam pada itu, Mohd Amar sekali lagi menegaskan masalah air di Kelantan dapat diselesaikan sekiranya Kelantan memperoleh peruntukan mencukupi dianggarkan sekurang-kurangnya RM7 bilion.

Katanya, anggaran RM7 bilion itu antaranya melibatkan pembinaan loji rawatan air (LRA) yang baharu, kolam takungan serta penukaran paip lama kepada baharu sekitar 5,000 kilometer.

“Tidak pelik dan masuk akal keperluan peruntukan itu memandangkan keadaan keperluan semasa dan peningkatan kos.

“Sekarang ini tahun 2022, keperluan kewangan semakin meningkat sebab isu air kita tengok ialah pertambahan penduduk,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button