Berita Utama

MAQIS rampas daging babi dilabel sebagai produk ikan

20,736 tin ‘Canned Meining Fish Luncheon Meat’ cuba dibawa masuk

GEORGETOWN, 11 Syawal 1443H, Khamis – Daging babi yang dilabelkan sebagai ikan dalam tin dari China telah dirampas oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) sebelum sempat dijual di sini.

Timbalan Ketua Pengarah MAQIS, Dr Azhari Sharidan Abu Bakar berkata, pihaknya berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk kontena dengan 864 kotak (20,736 tin) ‘Canned Meining Fish Luncheon Meat’ di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini.

Beliau berkata, rampasan itu berlaku pada Februari tahun ini apabila pegawai penguat kuasa MAQIS menemui 7,050.24 kilogram (kg) produk ikan dalam tin bernilai RM326,592 dari China.

“Penghantaran itu ditahan untuk siasatan lanjut kerana ia diimport dengan maklumat yang mengelirukan dan palsu.

“Barang yang diimport dengan maklumat palsu, tidak tepat atau mengelirukan adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728),” katanya pada sidang media di Pejabat MAQIS di Bayan Lepas, hari ini.

Azhari berkata, siasatan lanjut menunjukkan produk yang dilabel sebagai ikan itu sebenarnya adalah daging babi.

“Produk tersebut telah diambil sampel dan diuji oleh Jabatan Kimia Malaysia.

“Daging babi dilarang diimport dari China bagi mengelak risiko Demam Babi Afrika (ASF) memasuki negara ini.

“Ia boleh menjejaskan industri penternakan babi di sini dan pengeluaran produk khinzir,” katanya.

Beliau berkata, syarikat pengimport itu didakwa selanjutnya mengikut Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 kerana mengimport produk pertanian tanpa permit import yang sah daripada MAQIS.

“Syarikat itu didenda RM16,000 bagi setiap satu pertuduhan dan telah membayar denda itu.

“Mengikut undang-undang, kami telah merampas barangan itu dan akan memusnahkannya dalam tempoh dua minggu akan datang,” katanya sambil menambah ini adalah rampasan terbesar mereka membabitkan daging babi tahun ini.

Azhari berkata, MAQIS mengambil langkah proaktif untuk memastikan barangan diimport ke Malaysia, terutamanya apabila ia melibatkan keselamatan makanan dan kawalan penyakit yang boleh menjejaskan industri pertanian.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button