Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita UtamaDunia

Presiden Sri Lanka akan lantik PM, Kabinet baharu minggu ini

Perintah berkurung juga dijangka ditarik balik hari ini

COLOMBO, 11 Syawal 1443H, Khamis – Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa dalam ucapan kepada negara pada hari Rabu berkata, beliau akan melantik perdana menteri dan Kabinet baharu minggu ini di tengah-tengah keadaan darurat semasa.

“Saya akan melantik perdana menteri dan Kabinet yang mendapat kepercayaan rakyat,” kata Rajapaksa dalam ucapan di televisyen selepas tentera dikerahkan di tengah ibu negara Sri Lanka, Colombo.

Rajapaksa juga bercakap mengenai pertempuran ganas baru-baru ini di negara Asia Selatan itu dan berkata beliau telah mengarahkan ‘pihak berkuasa berkaitan’ untuk mengambil tindakan terhadap pelaku keganasan.

“Tiada siapa boleh mewajarkan tindakan ganas yang dirancang pada 9 Mei dan dalam beberapa hari lalu,” katanya sambil menambah, keganasan dan kebencian mesti dihentikan.

Pada hari Selasa, beliau telah menggesa orang ramai untuk menghentikan keganasan dan tindakan membalas dendam terhadap sesama rakyat serta berikrar untuk menangani krisis politik dan ekonomi yang mencengkam negara.

Perintah berkurung di seluruh negara, yang dijangka ditarik balik pada hari Rabu, dilanjutkan sekurang-kurangnya sehingga pagi Khamis, menurut pekeliling kerajaan.

Lapan orang terbunuh dan lebih 200 cedera sejak 9 Mei dalam keganasan paling teruk melanda negara itu, menurut kementerian pertahanan. Selain itu, 104 bangunan dan 60 kenderaan turut terbakar.

Pasukan keselamatan telah diarahkan untuk melancarkan serangan dan menggunakan peluru hidup bagi menghentikan rusuhan.

“Keadaan semakin baik dan kami berharap dapat menarik balik perintah berkurung selewat-lewatnya pagi esok,” kata Kamal Gunaratne, ketua pertahanan negara itu, semasa taklimat akhbar pada hari Rabu.

Insiden keganasan menyebabkan Perdana Menteri, Mahinda Rajapaksa meletak jawatan. 

Beliau kemudian diselamatkan dari kediamannya di Colombo oleh tentera selepas ia dikepung orang ramai yang marah. Bekas pemimpin itu kini dikawal di pangkalan tentera laut di seberang negara.

Keganasan dan serangan pembakaran berterusan di negara ini. Kumpulan perusuh telah membakar berpuluh-puluh rumah milik ahli politik parti pemerintah di seluruh negara sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Tentera kerajaan setakat ini tidak menguatkuasakan perintah berkurung di kem protes di pinggir laut ibu negara, di mana orang ramai telah hadir sejak sebulan lalu untuk menuntut peletakan jawatan kerajaan.

Tapak ini berhadapan dengan pejabat Rajapaksa dan adiknya Mahinda. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button