Berita Utama

Program peringati usaha Melayu lindungi Cina di Sibu dicadang pada November

Bertujuan mendedahkan mengenai peristiwa itu kepada generasi muda

SIBU, 11 Syawal 1443H, Khamis – Satu program khas bagi memperingati usaha masyarakat Melayu di Sibu melindungi kaum Cina daripada kekejaman tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua dicadang diadakan di sini pada November depan.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II Sarawak Michael Tiang Ming Tee berkata program tersebut bertujuan mendedahkan mengenai peristiwa itu kepada generasi muda.

“Hari tersebut amat bermakna kepada kami dan kami ingin memperkenalkan peristiwa penting itu kepada generasi muda. Peristiwa ini amat jelas melambangkan betapa uniknya keakraban masyarakat Melayu dan Cina di Sibu. Generasi muda pada hari ini harus mengenali keunikan masyarakat zaman dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penyerahan sijil pelantikan semula dan pelantikan baharu Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelawan dan Bukit Assek di sini hari ini.

Tiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan berkata idea untuk menganjurkan program tersebut tercetus semasa kunjungan Aidilfitri beliau ke atas seorang ketua masyarakat tempatan, Temenggong Datuk Wan Hamid Edruce Tuanku Mohamad di sini baru-baru ini.

“Semasa kunjungan itu Temenggong Datuk Wan Hamid Edruce telah berkongsi dengan kami disebalik keakraban masyarakat Melayu dan Cina semasa era Perang Dunia Kedua.

“Terdapat sejarah penting iaitu pada masa itu masyarakat Melayu mengambil anak Cina menjadi anak angkat mereka. Ini bagi melindungi mereka daripada ditindas oleh Jepun,” katanya.

Sementara itu, Wan Hamid Edruce semasa ditemui berkata keluarga beliau sendiri mengambil seramai enam anak kaum Cina sebagai anak angkat.

“Seorang daripada mereka ialah isteri Premier kita iaitu Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang dan seorang lagi ialah ibu kepada mendiang Ting Ing Mieng yang merupakan bekas ADUN Seduan dan bekas Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu,” katanya.

Wan Hamid Edruce berkata mereka semua tinggal di rumah keluarga beliau dan ada juga sebahagian daripada anak-anak angkat ini dibawa ke Song, sebuah penempatan di bahagian hulu Sungai Rajang kira-kira 110km dari sini untuk melindungi mereka daripada tentera Jepun.

Menurutnya selain keluarganya, terdapat keluarga lain di Kampung Nangka dan Kampung Hilir turut mengambil anak Cina menjadi anak angkat mereka ketika itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button