Berita Utama

11,653 individu 60 tahun ke atas terima dos penggalak ke-2

Dos penggalak ke-2 diberi secara sukarela, percuma bawah PICK

BANGI, 12 Syawal 1443H, Jumaat – Sebanyak 11,653 dos penggalak kedua telah diberikan kepada individu yang berumur 60 tahun ke atas setakat 11 Mei lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Corporation Sdn Bhd, Datuk Anas Alam Faizli berkata, dos penggalak kedua diberikan secara sukarela dan percuma di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Beliau berkata, semua individu berumur 60 tahun dan ke atas kini boleh mendapatkan dos penggalak kedua selepas selang masa empat hingga enam bulan daripada tarikh suntikan pertama, seperti yang diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin semalam.

Bahkan, pemberian dos penggalak kedua turut ditawarkan kepada golongan dewasa berumur 18 hingga 59 tahun serta remaja 12 hingga 17 tahun yang mempunyai risiko klinikal penyakit teruk, selepas mendapatkan nasihat daripada pengamal perubatan berdaftar, katanya.

Anas berkata, keputusan itu dibuat selepas Jawatankuasa Kerja Teknikal (TWG) mendapati bahawa kajian saintifik menunjukkan keberkesanan vaksin terhadap jangkitan COVID-19 berkurangan.

“Kajian telah menunjukkan bahawa keberkesanan dua dos penggalak terhadap kemasukan ke hospital adalah baik untuk sekurang-kurangnya lima bulan.

“Bagaimanapun, dua dos vaksin COVID-19 semasa siri primer dengan satu dos penggalak juga masih memberikan perlindungan yang baik dalam satu tempoh terhadap jangkitan yang serius pada orang dewasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ProtectHealth melalui pengamal perubatan swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) penjagaan kesihatan akan terus membantu dan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memaksimumkan serta mempercepatkan pelaksanaan dos penggalak kedua dan menggalakkan Pengamal Perubatan Swasta (PMP) menyertai program ini.

“Jika kita membantu warga emas dan individu berisiko tinggi untuk mendapatkan dos penggalak kedua mereka, kita telah mengambil langkah untuk sama-sama menjaga kesihatan kita dan kesihatan keluarga, jiran dan masyarakat.

“Marilah kita bersama-sama terus melindungi kumpulan yang berisiko dan terdedah ini daripada jangkitan COVID-19,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button