Berita Utama

470 kes denggi di Selangor antara 1 hingga 7 Mei lalu

Menurun 28.4 peratus berbanding 656 kes minggu sebelumnya

BANGI, 12 Syawal 1443H, Jumaat – Sejumlah 470 kes denggi telah dilaporkan di negeri Selangor bagi Minggu Epid (ME) 18 iaitu tempoh 1 Mei hingga 7 Mei lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Indera Dr Sha’ari Ngadiman berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 28.4 peratus berbanding 656 kes pada minggu sebelumnya.

Beliau berkata, sebanyak 9,357 kes demam denggi dilaporkan sehingga kini iaitu peningkatan 70 peratus (3,854 kes) berbanding minggu epid yang sama pada tahun 2021.

“Lima daerah utama yang mencatatkan kes demam denggi tertinggi iaitu Petaling 3,481 kes (37.2 peratus), Klang 3,197 kes (23.5 peratus), Hulu Langat 2,008 kes (21.5 peratus), Gombak 937 kes (10.0 peratus) dan Sepang 228 kes (2.4 peratus).

“Jumlah lokaliti wabak denggi aktif adalah sebanyak 240 dengan perincian lokaliti hotspot 42, wabak tak terkawal 24, wabak terkawal dan wabak baru 174,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, bilangan lokaliti hotspot berdasarkan daerah adalah Petaling (25), Klang (8), Hulu Langat (6), Sepang dan Kuala Langat masing-masing satu.

Dr Sha’ari berkata, sebanyak satu kematian denggi didaftarkan sehingga kini, tidak berubah berbanding minggu yang sama pada tahun sebelumnya.

Sehubungan itu, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Selangor menyarankan komuniti di kawasan kediaman dapat melaksanakan aktiviti pembersihan tempat pembiakan nyamuk aedes kendiri secara berkala di dalam serta persekitaran tempat tinggal.

Katanya, ini termasuk meluangkan hanya 10 minit seminggu dan pastikan semua takungan air yang tidak digunakan di persekitaran masing-masing dimusnahkan.

“Meletakkan ubat pembunuh jentik-jentik di tempat takungan air yang tidak dapat dimusnahkan.

“Bagi takungan air kekal yang disimpan untuk kegunaan, hendaklah sentiasa ditutup rapat atau diletakkan ubat pembunuh jentik-jentik serta diperiksa seminggu sekali.

“Sentiasa memakai alat pelindung diri dan pakaian yang menutupi lengan dan kaki untuk mengelakkan gigitan nyamuk,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button