Berita Utama

Ada peluang menang punca UMNO kerap gesa segerakan PRU, pembangkang pula tak sedia

Kuasa bubar Parlimen pada Agong atas nasihat PM, bukan atas nasihat Presiden UMNO

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 12 Syawal 1443H, Jumaat – Kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa sekarang adalah masa yang terbaik untuk mengadakan pilihan raya umum, hanyalah demi kepentingan parti itu semata-mata.

Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali menilai gesaan itu adalah dari aspek pandangan UMNO kerana sememangnya jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilaksanakan pada hari ini, UMNO mempunyai peluang besar untuk menang.

Pada pandangannya, sebab utama jangkaan ‘kemenangan UMNO’ adalah kerana kedudukan parti-parti politik yang lain sama ada Perikatan Nasional (PN) dan juga Pakatan Harapan (PH) nampak tidak begitu bersedia. 

“Kalau berlaku tiga penjuru PRU15, UMNO boleh menang dalam pilihan raya ini. Sudah pasti sekiranya dibubarkan Parlimen UMNO berada dalam kedudukan yang terbaik. 

“Kerana cabaran besar yang dihadapi oleh parti-parti lain adalah mereka masih belum mempunyai satu kerangka bagaimana untuk menterjemahkan penglibatan mereka dalam pilihan raya,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Pada masa ini juga, katanya, rakyat tidak begitu seronok dengan politik dan keadaan ini akhirnya akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN)-UMNO.

“Rakyat berada dalam mood untuk kembali memulihkan kehidupan mereka selepas bertahun-tahun PKP, pandemik dan masalah ekonomi yang rakyat sedang hadapi. Rakyat tidak begitu fokus kepada politik. 

“Sudah pastilah ini memberi peluang yang baik kepada BN kerana rakyat di atas pagar ini tidak akan memberi perhatian kepada politik termasuk PH dan PN akan mendapat undi yang lebih kurang berbanding undi BN,” katanya.

Pembangkang tidak bersedia berdepan PRU15

Sementara itu, melihat dari sudut pembangkang, Dr Mazlan berkata, sudah pasti mereka tidak begitu bersedia untuk berdepan dengan PRU15. 

“Saya fikir PH dan BN masih dalam proses untuk menjajarkan semula kedudukan mereka dalam koalisi yang ada. Adakah PH akan mewujudkan khemah besar atau tidak. Itu pun satu perkara yang tak boleh nak dijawab lagi. 

“Dalam PKR sendiri pun ada dua pendapat, menyokong dan tidak menyokong khemah besar. Demikian juga dalam gabungan PN tidak jelas. 

“PAS masih lagi bercakap bekerjasama dengan UMNO walaupun UMNO telah pun menolak dan PAS sudah dua kali bekerjasama dengan Bersatu menentang UMNO dalam PRN Johor dan Melaka. 

“Jadi saya lihat di pihak pembangkang berada dalam keadaan sukar sekarang ini,” katanya.

Adakah PRU akan disegerakan?

Mengulas lanjut, Dr Mazlan berkata, persoalan sama ada PRU akan disegerakan tetap bergantung kepada Perdana Menteri.

Meskipun Perdana Menteri adalah dari kalangan UMNO sendiri, namun perpecahan  dalam parti itu mungkin membuatkan teka-teki tarikh PRU tidak dapat terjawab dalam masa terdekat.

“Kita jangkakan agak sukar UMNO menetapkan PRU ini diadakan pada tahun ini atau segera. Kerana apa? Kerana nampak dalam UMNO ada perpecahan. Kumpulan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atau apa yang digelar kluster mahkamah dengan kumpulan yang memerintah – PM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

“Kita nampak penyokong-penyokong, jelasnya ada dua kumpulan,” katanya.

Kedudukan Ismail Sabri tidak terjamin jika adakan PRU sekarang

Malah, katanya, jika dilihat kembali pada Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini, ucapan Perdana Menteri dalam persidangan  itu seolah-olah memohon sokongan perwakilan UMNO supaya kerajaan dapat meneruskan agenda pemerintahan. 

“Ini menunjukkan bahawa Ismail Sabri mahu meneruskan lagi mandat yang diberi sehingga tahun depan. Mereka ada setahun lagi untuk meneruskan kerajaan ini. Menjayakan matlamat kerajaan untuk RMK12 bagi pandangan Ismail Sabri. 

“Malah tidak ada jaminan untuk Ismail Sabri ‘survive’ dalam politik pun kalau beliau mengikut kehendak Zahid Hamidi. 

“Sebab walaupun Zahid kata Ismail Sabri jadi poster boy dalam calon PM, itu belum jaminan. Di negeri Johor pun Datuk Seri Hasni Mohammad akhirnya ditukar.

“Melainkan Zahid Hamidi menyatakan dia akan membuat pelan untuk peralihan, Ismail Sabri akan menggantikan sebagai Presiden UMNO. Itu lain,” katanya.

Namun, itu dilihat mustahil berlaku dengan penangguhan pemilihan UMNO sehingga selepas PRU serta hendak dipinda pula perlembagaan parti.

“Ini menunjukkan bahawa di situ tidak ada jaminan untuk Ismail Sabri akan terus dicalonkan sebagai PM dan mengetuai kerajaan selepas PRU15. 

“Jadi dalam UMNO sendiri ada kekangan-kekangan tersebut maka saya fikir tidak mudah sebab kuasa membubarkan Parlimen berada pada Agong di atas nasihat PM, bukan atas nasihat Presiden UMNO,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button