Berita UtamaDunia

COVID-19: Selepas rekod kes pertama, Korea Utara catat 1 kematian

Ratusan ribu penduduk mula tunjuk gejala demam

SEOUL, 12 Syawal 1443H, Jumaat – Sekurang-kurangnya seorang yang disahkan positif COVID-19 meninggal dunia di Korea Utara sementara ratusan ribu penduduk menunjukkan gejala demam.

Agensi berita rasmi KCNA melaporkan, kira-kira 187,800 orang kini dirawat secara berasingan selepas demam yang tidak diketahui puncanya ‘merebak ke seluruh negara’ sejak akhir April.

“Kira-kira 350,000 orang menunjukkan tanda demam, termasuk 18,000 yang baharu melaporkan gejala berkenaan pada Selasa,” kata KCNA.

Kira-kira 162,200 daripada mereka dirawat setakat ini, namun tidak dinyatakan jumlah penduduk yang disahkan positif COVID-19.

Sekurang-kurangnya enam orang yang menunjukkan simptom demam meninggal dunia, dengan satu daripada kes itu disahkan dijangkiti virus varian Omicron, kata KCNA.

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un melawat pusat arahan antivirus pada Selasa untuk memeriksa keadaan dan tindak balas selepas mengisytiharkan ‘kecemasan negara yang teruk’ dan mengarahkan sekatan pergerakan negara pada Khamis.

Beliau ‘mengkritik bahawa penularan demam serentak dengan kawasan ibu kota sebagai pusat menunjukkan bahawa terdapat titik terdedah dalam sistem pencegahan wabak yang disediakan,’ kata KCNA.

Jong Un memilih secara aktif mengasingkan dan merawat individu yang demam sebagai keutamaan, sambil menggesa untuk merangka kaedah serta taktik rawatan saintifik ‘pada kadar pantas’ bahkan mengukuhkan langkah bagi membekalkan ubat-ubatan.

Korea Utara menolak bekalan vaksin daripada program perkongsian global COVAX dan China, mungkin menyebabkan sebahagian besar rakyat yang agak muda berisiko tinggi untuk dijangkiti.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) berkata, negara itu tidak bercadang untuk menghantar vaksin ke Korea Utara tetapi menyokong usaha antarabangsa untuk memberi bantuan kepada rakyat yang terdedah di sana, menggesa Pyongyang memudahkan kerja itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button