Berita Utama

Op Selamat 18: Kes kemalangan meningkat sedikit banding 2019

Situasi jalan raya mampu dikawal walau aliran kenderaan tinggi

BANGI, 12 Syawal 1443H, Jumaat – Statistik kes kemalangan jalan raya pada Op Selamat 18 sempena Hari Raya Aidilfitri kali ini mencatatkan sedikit peningkatan berbanding tahun 2019.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, sebanyak 15,947 kes kemalangan telah dilaporkan iaitu meningkat satu peratus berbanding 15,836 kes bagi Op Selamat 15/2019.

Beliau berkata, bagi kes kemalangan maut merekodkan peningkatan tujuh peratus (10 kes) dengan 160 kes berbanding 150 kes pada tempoh sama dua tahun lalu.

“Manakala jumlah kematian turut merekodkan peningkatan sebanyak empat peratus (enam kes) dengan 166 kes berbanding 160 kes semasa Op Selamat 15/2019.

“Meskipun berlaku peningkatan kes kemalangan disebabkan faktor pertambahan aliran kenderaan yang tinggi sehingga mencapai lima juta buah kenderaan, berikutan pergerakan orang ramai untuk pulang ke kampung dan kembali semula ke ibu kota, PDRM melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dengan bantuan pelbagai agensi masih mampu mengawal situasi di jalan raya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sepanjang Op Selamat 18, beliau berkata, kesesakan di jalan dan lebuh raya utama negara dapat dikawal dengan baik melalui Op Lancar yang telah diatur gerak melibatkan semua elemen PDRM.

“Manakala, pemantauan di udara menggunakan aset helikopter dan dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) dilihat berkesan dalam menangani keadaan luar jangka daripada menjadi lebih buruk,” katanya.

Katanya, penguatkuasaan secara ‘total enforcement’ ke atas enam kesalahan utama turut memastikan pengguna untuk lebih berdisiplin dan berhemah semasa pemanduan di jalan raya.

Pada masa sama, beliau berkata, kerjasama masyarakat dalam mengisi borang balik kampung bagi rumah atau premis yang ditinggalkan sepanjang Op Selamat 18, telah membantu PDRM dalam memastikan kadar jenayah pecah rumah dapat diturunkan.

“Untuk rekod, sebanyak 313 kes pecah rumah telah dilaporkan pada Op Selamat 18 menunjukkan penurunan yang drastik iaitu 42.6 peratus (232 kes) berbanding 545 kes pecah rumah pada Op Selamat 15/2019.

“Selain itu, keprihatinan pengguna jalan raya untuk bersama-sama menyalurkan maklumat mengenai tingkah laku pengguna kenderaan yang melanggar peraturan dan undang-undang agar tindakan dapat diambil, juga amat dipuji dan dihargai,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button