Dunia

COVID-19: Turki yakin kembali hidup normal mulai Mac

Tarik balik perintah berkurung, sekatan hujung minggu secara berperingkat

ANKARA, 7 Rejab 1442H, Jumaat – Turki akan kembali kepada kehidupan normal secara beransur-ansur dan berperingkat di kebanyakan kawasan mulai Mac ini, menurut Recep Tayyip Erdogan. 

Presiden negara itu berkata, perintah berkurung yang dikuatkuasakan setiap hujung minggu di seluruh negara akan ditarik balik di beberapa wilayah berdasarkan kadar jangkitan. 

Turki melaksanakan perintah berkurung dan penutupan hujung minggu serta penetapan lain pada Disember lalu ekoran kes jangkitan meningkat mendadak. 

Negara itu merancang membuka semula sesi persekolahan di seluruh negara pada 1 Mac, selain memulakan pemberian vaksinasi COVID-19 yang dibangunkan Sinovac Biotech Ltd China kepada 5.7 juta rakyatnya. 

Bercakap selepas mesyuarat Kabinet di Ankara pada Rabu, Erdogan memaklumkan rancangan membuka kembali kafe dan restoran – yang ditutup selama berbulan – akan diumumkan dalam masa terdekat, namun masih mewajibkan rakyat mematuhi langkah pencegahan ditetapkan. 

“Kita akan mengkategorikan wilayah kita sebagai risiko rendah, sederhana, tinggi atau sangat tinggi berdasarkan kadar jangkitan dan vaksinasi. Hingga bulan Mac, kita sudah mula tempoh normal secara berperingkat.

“Kita akan menghapus perintah berkurung dan sekatan mulai hujung bulan, berdasarkan kes jangkitan, vaksinasi dan kriteria lain di setiap wilayah,” katanya.

Setakat ini, Turki melaporkan lebih 2.6 juta kes dengan hampir 27,000 kematian akibat COVID-19 sejak wabak itu menular pada Mac tahun lalu.

Walaupun vaksinasi bermula bulan lalu, kes harian baharu masih dilaporkan antara 6,000 hingga 8,000 sehingga mencetuskan kebimbangan. 

Erdogan percaya Turki akan membuat kemajuan besar berkaitan vaksinasi pada Mac nanti dan memaklumkan Ankara sedang mengatur penerimaan dos yang diperlukan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button