Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Pemandu lori sambilan mengaku tidak salah rompak penyampai berita

Tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin

PETALING JAYA, 12 Syawal 1443H, Jumaat – Seorang pemandu lori sambilan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak seorang penyampai berita televisyen, Khairul Rizuan Azizan minggu lepas.

Muhammad Qayyum Mazlan, 32, yang memakai kemeja-T dan berseluar pendek bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Lelaki itu didakwa merompak sebuah beg berjenama Fossil bernilai RM500 dan wang tunai RM100 daripada Khairul Rizuan, 34, di tepi jalan berhampiran Exclusive Perdana, Damansara Perdana di sini pada 3.40 petang, 5 Mei lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim manakala tertuduh diwakili peguam Kailash Sharma.

Terdahulu, Norhashimah memohon mahkmah supaya tidak menawarkan jaminan dengan alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin serta ia kesalahan serius kerana melibatkan kerugian harta.

Norhashimah juga bimbang tertuduh akan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan memandangkan kes tersebut tular serta mendapat perhatian umum.

Kailash bagaimanapun memohon jaminan dibenarkan kerana anak guamnya penanggung tunggal keluarga serta mempunyai seorang anak lelaki berusia lapan tahun yang masih bersekolah.

“Meskipun kesalahan berada di bawah pertuduhan yang tidak boleh dijamin, mahkamah boleh menggunakan budi bicara untuk memberi ikat jamin kepada tertuduh mengikut Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Hakim kemudian menetapkan 20 Jun ini bagi sebutan semula kes itu.

Sebelum ini, satu rakaman video berdurasi 30 saat tular di media sosial memaparkan mangsa cuba mengejar dan menangkap suspek dalam insiden rompakan itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button