Berita UtamaDunia

Presiden UAE meninggal dunia di usia 73

Negara berkabung selama 40 hari, bendera dikibar separuh tiang

ABU DHABI, 12 Syawal 1443H, Jumaat – Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan meninggal dunia pada usia 73 tahun, lapor agensi berita negara WAM.

Sheikh Khalifa yang juga pemerintah emiriah Abu Dhabi, meninggal dunia pada hari Jumaat.

“Kementerian Hal Ehwal Presiden mengucapkan takziah kepada rakyat UAE, negara Arab dan Islam serta dunia atas kematian Yang Teramat Mulia Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan, Presiden UAE.

“Kementerian Hal Ehwal Presiden juga mengumumkan bahawa UAE akan mengadakan perkabungan selama 40 hari dengan bendera dikibarkan separuh tiang mulai hari ini, dan menggantung kerja di semua kementerian, jabatan dan entiti persekutuan, tempatan dan swasta selama tiga hari,” satu kenyataan dari WAM dibaca di Twitter.

Sheikh Khalifa bertarung dengan penyakit selama beberapa tahun dan telah lama berhenti terlibat dalam urusan seharian.  

Menurut Perlembagaan UAE, Naib Presiden dan Perdana Menteri, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, pemerintah Dubai akan bertindak sebagai presiden sehingga Majlis Persekutuan, yang terdiri daripada pemerintah tujuh emiriah, bermesyuarat dalam masa 30 hari untuk memilih presiden yang baharu.

Sheikh Khalifa dilahirkan pada 1948. Beliau mengambil alih jawatan presiden kedua UAE pada November 2004, menggantikan bapanya sebagai pemerintah ke-16 Abu Dhabi, emiriah terkaya persekutuan.  

Beliau dijangka akan digantikan sebagai pemerintah Abu Dhabi oleh abang tirinya Putera Mahkota Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan yang diserang angin ahmar pada 2014.

Berikutan itu, beliau jarang dilihat di khalayak ramai, walaupun beliau masih mengeluarkan keputusan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button